Indonesia ramal pengeluaran beras turun lima peratus akibat El Nino

Bernama
September 2, 2023 19:15 MYT
NFA bercadang untuk mengeluarkan rizab makanan kerajaan yang dipegang oleh agensi perolehan makanan negara, Bulog, dan perusahaan milik kerajaan, ID Food. - Gambar hiasan
JAKARTA: El Nino dijangka menyebabkan penurunan pengeluaran beras domestik, dengan anggaran sekitar lima peratus, menurut Agensi Makanan Kebangsaan Indonesia (NFA).
Bagi menangani isu ini, NFA bercadang untuk mengeluarkan rizab makanan kerajaan yang dipegang oleh agensi perolehan makanan negara, Bulog, dan perusahaan milik kerajaan, ID Food.
Ketua agensi itu Arief Prasetyo Adi berkata Bulog kini memegang kira-kira 1.5 juta tan stok, dengan tambahan sekitar 400,000 tan.
"Kami berharap penurunan pengeluaran tidak melebihi lima peratus, tetapi kami bersedia untuk mengambil tindakan jika ia mencecah tujuh peratus," katanya dalam satu kenyataan.
Program bantuan makanan itu menyumbang secara positif kepada kawalan inflasi bulan lepas, katanya sambil menambah bahawa persediaan sedang dijalankan untuk mendapatkan bekalan pada Februari dan April, serentak dengan pilihan raya umum dan Hari Raya Aidilfitri, masing-masing.
Agensi meteorologi Indonesia, BMKG meramalkan fenomena El Nino akan berlanjutan sehingga awal 2024 berdasarkan ramalan hujan bulanannya.
Keadaan semasa menunjukkan lonjakan harga beras (GKP), mencecah julat 6,700-7,000 rupiah (RM1=3,276 rupiah) sekilogram, manakala harga beras sangat bergantung kepada harga GKP.
Faktor lain yang mempengaruhi harga termasuk kos baja, perbelanjaan pengangkutan dan kos buruh.
"Walaupun memadankan harga tahun lepas mungkin mencabar, faktor utama terletak pada pengeluaran, dan menjelang akhir tahun, kami menjangkakan trend menurun," kata Arief.
Justeru, beliau menggesa semua pihak berkepentingan yang berkaitan untuk terus mempercepatkan usaha bagi meningkatkan pengeluaran domestik.
-- BERNAMA
#El Nino #pengeluaran beras #Inonesia #bekalan menurun
;