Indonesia pindahkan pemimpin radikal, Abu Bakar Baasyir, ke penjara kawalan ketat
Agensi
April 16, 2016 22:35 MYT
April 16, 2016 22:35 MYT
Pihak berkuasa Indonesia telah memindahkan bekas pemimpin Jemaah Islam (JI) yang didakwa terlibat dalam insiden serangan pengeboman Bali, Abu Bakar Baasyir, ke sebuah penjara dengan kawalan keselamatan tinggi di selatan Jakarta pada Sabtu, ujar jurucakap pemerintah republik itu.
Abu Bakar dihukum penjara selama 15 tahun sejak 2011 setelah sekian lama pihak pendakwaraya berusaha untuk memastikan hukuman penjara yang lama untuknya yang dituduh menyebarkan kebencian dalam ucapan dan ceramahnya.
Reuters melaporkan, pihak berkuasa Indonesia bimbang mengenai pengaruh Abu Bakar yang masih kuat dalam rangkaian pergerakan radikal.
Pemindahannya dari penjara Nusakembangan di Jawa Tengah ke penjara berkawalan keselamatan ketat di Gunung Sindur di Bogor adalah ‘mengikut jadual’, kata jurucakap Kementerian Hal Ehwal Keselamatan, Agus Barnas.
Langkah itu dilihat sebagai petanda bahawa pemerintah Indonesia mengambil serius soal pengurusan penjara berikutan insiden serangan Jakarta pada Januari lalu.
Perancangan serangan yang seumpamanya dilihat mempunyai kaitan dengan pengaruh rakan tahanan dalam penjara.
Serangan di jakarta itu mencetuskan kebimbangan bahawa dalam sistem penjara Indonesia yang kekurangan petugas, sesak dan korup menyebabkan golongan ekstremis dapat bergaul dengan mudah dan bertukar-tukar maklumat melalui e-mel, media sosial dan telefon.
“Sebelum ini, undang-undang ini tidak dikuatkuasakan. Abu Bakar secara bebas menyebarkan ajaran radikal melalui ceramah atau telefon bimbit,” ujar Agus.
Abu Bakar yang kini berusia 77 tahun juga dipindahkan ke lokasi penjara yang lebih dekat dengan hospital atas faktor usia.
Pemindahan itu bagaimanapun mendapat bantahan peguam Abu Bakar, Achmad Michdan, yang mendakwa ia dilakukan secara mengejut.
#Abu Bakar Baasyir
#ajaran ekstremis
#JI
#pemimpin Jemaah islamiyah
#Penjara Nusakambangan
#pihak berkuasa Indonesia kekang radikalisme
#serangan Jakarta