Indonesia pertahan keputusan hentikan sementara eksport arang batu

Bernama
Januari 6, 2022 04:08 MYT
Jokowi pada Khamis mengumumkan penarikan balik 2,078 permit syarikat perlombongan mineral dan arang batu kerana gagal mengemukakan pelan pelaksanaan kerja. - Gambar fail / Twitter/@jokowi
JAKARTA: Pejabat Eksekutif Presiden Indonesia menjelaskan bahawa keputusan Presiden Joko Widodo mengenakan larangan eksport arang batu telah dibuat selepas mengambil kira kepentingan negara serta usaha kerajaan menghadapi cabaran krisis tenaga global.
Keputusan oleh Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi itu dibuat dalam situasi protes oleh pengusaha tempatan dan negara pengimport seperti Jepun.
Dalam mempertahankan keputusan presiden, Timbalan Ketua Staf Presiden, Febry Calvin Tetelepta berkata kerajaan menghargai semua perusahaan yang telah memenuhi komitmen Obligasi Pasaran Domestik (DMO) arang batu.
"Namun arahan presiden adalah dalam rangka mempertahankan peraturan DMO," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata meskipun krisis tenaga global mendorong seluruh dunia bersaing untuk mendapatkan sumber tenaga yang boleh dipercayai termasuk arang batu dari Indonesia, namun keperluan elektrik untuk 270 juta rakyat Indonesia tidak boleh diketepikan.
Mekanisma DMO mengenai pengeluaran arang batu menetapkan 25 peratus daripada pengeluaran itu perlu dijual kepada syarikat utiliti milik kerajaan, PT Perusahaan Listrik Negara (PT PLN).
Larangan eksport sepanjang Januari 2022 itu diumumkan kerajaan pada awal minggu ini berikutan stok arang batu di beberapa loji jana kuasa PT PLN merosot ke paras yang rendah.
Bagaimanapun, keputusan terbabit menyebabkan ketidaktentuan dalam pasaran dan mengganggu bekalan negara pengimport termasuk China dan India, manakala kontrak yang telah ditandatangani juga tertakluk kepada sekatan.
Pada Rabu, Jepun melalui duta besarnya telah memohon agar larangan itu ditarik balik kerana arang batu sangat diperlukan bagi menghadapi musim sejuk.
Kerajaan Jepun juga menjelaskan beberapa loji jana kuasa dan pengilang di negaranya bergantung kepada komoditi yang diimport dari Indonesia.
Sementara itu, Jokowi pada Khamis mengumumkan penarikan balik 2,078 permit syarikat perlombongan mineral dan arang batu kerana gagal mengemukakan pelan pelaksanaan kerja.
Kementerian Tenaga dan Sumber Mineral serta Kementerian Perusahaan Milik Negara (BUMN) diarahkan supaya mengutamakan pembekalan arang batu untuk keperluan domestik.
Susulan krisis stok arang batu di PT PLN, BUMN mengambil keputusan melantik Hartanto Wibowo sebagai pengarah tenaga utama PT PLN bagi menggantikan Rudy Hendra Prastowo.
-- BERNAMA
#Joko Widodo #larangan eksport arang batu #Indonesia #Obligasi Pasaran Domestik
;