Indonesia peroleh bekalan vaksin susulan lawatan ke China & UAE

Bernama
September 3, 2020 06:34 MYT
Kunjungan rasmi Menteri Luar dan delegasi pegawai kerajaan berjaya memperoleh bekalan 60 juta dos vaksin, sekali gus membantu meletakkan Indonesia pada kedudukan lebih baik dalam memerangi pandemik COVID-19. - Gambar fail
Indonesia memperoleh bekalan vaksin COVID-19 - bekalan pertama dijangka diperoleh mulai November 2020 - susulan lawatan menteri ke China dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) minggu lalu.
Menurut kenyataan dikeluarkan Kementerian Luar Indonesia di sini pada Khamis, lawatan rasmi ke China pada 20 Ogos lalu menyaksikan Menteri Luar Retno Marsudi mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya dari China, Wang Yi.
Selain itu, Retno Marsudi juga bertemu wakil syarikat biofarmaseutikal China, Sinovac Biotech (Sinovac).
Selepas beberapa siri pertemuan, Memorandum Persefahaman (MoU) dimeterai antara Bio Farma Indonesia dan Sinovac untuk pembelian serta pembekalan 50 juta dos vaksin CoronaVac yang akan dibekalkan selama lima bulan mulai November 2020.
Selepas kunjungan ke China, Retno Marsudi berlepas ke Abu Dhabi, UAE, untuk lawatan rasmi dan mengadakan pertemuan dengan Sheikh Abdullah bin Zayed Al Nahyan.
Pertemuan empat mata itu dengan kedua-dua Menteri Luar pada 22 Ogos 2020 menyaksikan MoU kedua ditandatangani - dengan syarikat Biofarmaseutikal berpangkalan di Abu Dhabi, G42 Healthcare - bagi membekalkan 10 juta dos vaksin, selepas berjaya lulus semua ujian diperlukan.
Pada masa ini, proses pembangunan vaksin berada pada tahap tiga.
Kunjungan rasmi Menteri Luar dan delegasi pegawai kerajaan berjaya memperoleh bekalan 60 juta dos vaksin, sekali gus membantu meletakkan Indonesia pada kedudukan lebih baik dalam memerangi pandemik COVID-19.
-- BERNAMA
#China #Coronavac #COVID-19 #Indonesia #Kementerian Luar #kerajaan #koronavirus #lawatan menteri #MoU #pandemik #Retno Marsudi #Sinovac Biotech #UAE #vaksin #wang yi
;