Indonesia: Permohonan visa prapelaburan dan pelancongan boleh dibuat secara dalam talian
Bernama
Januari 27, 2023 17:17 MYT
Januari 27, 2023 17:17 MYT
JAKARTA: Warga asing kini boleh memohon visa pelawat Indonesia untuk prapelaburan dan pelancongan secara dalam talian.
Menurut Ketua Pengarah Imigresen Silmy Karim, berkuat kuasa 26 Januari pemohon perlu melengkapkan keseluruhan proses permohonan berkaitan visa pelawat dan membuat pembayaran di molina.imigrasi.go.id.
"Mereka boleh memohon visa pelawat untuk pelancongan dan prapelaburan tanpa penaja. Perkhidmatan ini dijangka menggalakkan pertumbuhan sektor pelancongan dan pelaburan.
"Imigresen memudahkan ahli perniagaan global dan pelabur untuk meneroka dan menyemak potensi pelaburan sebelum melabur di Indonesia," katanya dalam satu kenyataan.
Silmy berkata mereka juga boleh melanjutkan visa elektronik semasa ketibaan (e-VOA) di laman sesawang melalui modul keluar masuk warga asing.
-- BERNAMA