Indonesia panggil Duta Ukraine berhubung ciapan Twitter: 'Apa yang dilakukan amat tidak patut'
Bernama
Ogos 12, 2022 15:17 MYT
Ogos 12, 2022 15:17 MYT
JAKARTA: Kementerian Luar Indonesia memanggil Duta Besar Ukraine, Vasyl Hamianin berhubung ciapannya di Twitter yang menimbulkan rasa kurang senang negara tuan rumah.
Jurucakap kementerian, Teuku Faizasyah berkata Hamianin telah dipanggil oleh ketua pengarah Amerika dan Eropah, Ngurah Swajaya pada 9 Ogos untuk menyampaikan rasa kurang senang atas ciapannya.
"Apa yang dilakukan itu sangat tidak patut sebagai seorang duta besar yang menjalankan misi diplomatik di sesebuah negara," katanya dalam talimat mingguan secara online pada Khamis.
Beliau menegaskan seorang duta besar harus mematuhi peraturan dan etika serta tidak menzahirkan sikap ekspresif dan negatif di negara tempat berkhidmat.
Pada 7 Ogos, Hamianin membalas ciapan twitter akaun rasmi Kementerian Luar Indonesia yang mengutuk keras serangan Israel hingga mengakibatkan orang awam, termasuk kanak-kanak terbunuh.
Melalui akaun @VHamianin, beliau mempersoalkan mengapa Indonesia tidak mengecam keras serangan terhadap Ukraine selama lima bulan terakhir yang mengorbankan ratusan hingga ribuan kanak-kanak.
-- BERNAMA