Indonesia mulakan program vaksinasi golongan berusia 59 tahun ke atas
Agensi
Februari 8, 2021 13:40 MYT
Februari 8, 2021 13:40 MYT
JAKARTA : Indonesia memulakan program vaksinasi negara itu lebih awal melibatkan rakyat berusia 59 tahun ke atas pada Isnin.
Menurut Menteri Kesihatannya, Budi Gunadi Sadikin, keputusan untuk mempercepatkan program vaksinasi terhadap golongan terbabit selepas data terbaharu merekodkan separuh daripada mangsa COVID-19 yang meninggal dunia merupakan golongan berusia.
"Golongan berusia adalah 10 peratus daripada jumlah yang dijangkiti, tetapi data menunjukkan 50 peratus daripada golongan ini meninggal dunia akibat COVID-19," katanya.
Tambahnya, 11,600 petugas kesihatan di negara itu yang juga golongan berusia akan diberikan vaksin dahulu.
Dalam pada itu, program vaksinasi yang dilaksanakan sebelum ini menggunakan vaksin Sinovac, CoronaVac dari China pada pertengahan Januari lalu jelasnya menunjukkan penurunan bilangan jangkitan dalam kalangan petugas kesihatan.
"Kita telah periksa dan akan ulang periksa untuk melihat adakah kesan program vaksinasi di daerah-daerah (Indonesia) ini konsisten terutamanya terhadap petugas kesihatan.
"Jawa Tengah antara wilayah yang paling cepat program vaksinasi dijalankan terhadap petugas barisan hadapan," katanya lagi.
Untuk rekod, wilayah Jawa Tengah menunjukkan penurunan jangkitan virus itu pada hujung Januari lalu apabila hanya 141 petugas kesihatan disahkan positif COVID-19 berbanding 179 dan 267 sebelum ini.
Sehingga kini, 34 wilayah termasuk 500 bandar di negara itu telah menjalankan program vaksinasi secara besar-besaran.
#Indonesia
#China
#meninggal dunia
#vaksin
#program vaksinasi
#petugas kesihatan
#kesihatan
#COVID-19
#Golongan berusia
#59 tahun
#vaksinasi
#Sinovac
#CoronoVac