Indonesia minat beli 2 juta tan beras - PM Thailand

Bernama
Disember 19, 2023 22:25 MYT
Indonesia pada Isnin menghantar surat rasmi memohon untuk membeli dua juta tan metrik beras Thailand. - Gambar hiasan/Freepik
BANGKOK: Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin berkata Indonesia berminat untuk membeli dua juta tan metrik beras Thailand pada tahun depan.
"Indonesia pada Isnin menghantar surat rasmi memohon untuk membeli dua juta tan metrik beras Thailand," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet pada Selasa.
Sementara itu, jurucakap kerajaan Thailand Chai Wacharonke berkata Indonesia telah menyatakan minat untuk mengimport sejuta tan metrik beras Thailand sebelum akhir tahun ini untuk meningkatkan keterjaminan makanannya.
Bagaimanapun, permintaan itu tidak dapat dihantar dalam masa yang ditetapkan.
Thailand pengeksport beras kedua terbesar di dunia menyasarkan untuk mengeksport lapan juta tan metrik tahun ini.
Statistik menunjukkan Thailand mengeksport 6.9 juta tan metrik beras, peningkatan sebanyak 11.4 peratus tahun ke tahun dari Januari hingga Oktober tahun ini.
-- BERNAMA
#beras #Indonesia #import #Thailand #Srettha Thavisin
;