Indonesia meterai MoU pembangunan kapasiti dengan Palestin, sokong perjuangan kemerdekaan

Bernama
Oktober 24, 2022 05:45 MYT
Presiden Indonesia Joko Widodo berjabat tangan dengan Perdana Menteri Palestine Mohammad Shtayyeg semasa pertemuan dua pemimpin itu di Istana Bogor pada Isnin. - Foto Sekretariat Kabinet Indonesia
JAKARTA: Indonesia pada Isnin menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Palestin bagi meneruskan komitmen memperkukuh pembangunan kapasiti dalam mewujudkan agensi makanan dan ubat-ubatan di negara itu.
Presiden Joko Widodo yang lebih dikenali sebagai Jokowi berkata beberapa program lain turut dirancang termasuk industri kecil sederhana, e-dagang dan pengurusan bencana.
"Dalam beberapa tahun terakhir, Indonesia telah memberikan latihan kepada lebih 2,000 warga Palestin," katanya pada sidang media bersama Perdana Menteri Palestin, Mohammad Shtayyeh.
Pertemuan diadakan di Istana Bogor, Jawa Barat sempena lawatan sulung rasmi Mohammad Shtayyeh yang dilantik Perdana Menteri sejak 2019 menggantikan Rami Hamdallah.
Jokowi berkata Indonesia kini dalam proses menyalurkan bantuan melalui United Nations Relief and Works Agency for Palestine Refugees in the Near East (UNRWA) dan International Committee of the Red Cross (ICRC).
Majlis Ulama Indonesia pula akan membina sebuah hospital Indonesia di bandar Hebron dan pengecualian duti import produk Palestin akan diperluaskan berbanding hanya kurma dan zaitun.
Beliau turut menyeru perpaduan dalam kalangan rakyat negara Asia Barat itu ditingkatkan serta menyatakan bahawa Indonesia sedia menjadi orang tengah dalam proses rekonsiliasi gerakan untuk mencapai perdamaian.
Indonesia yang menjadi presiden Kumpulan 20 (G20) tahun ini akan menyokong perjuangan kemerdekaan Palestin serta menjadi anggota penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, kata Jokowi.
Mohammad Shtayyeh yang menghargai usaha Indonesia berharap komitmen negara itu dapat diketengahkan semasa sidang kemuncak G20 di Bali bulan depan.
-- BERNAMA
#Indonesia #Palestin #MoU #Joko Widodo
;