Indonesia mampu selesaikan isu negara, global anggota ASEAN - Ismail Sabri

Bernama
Ogos 22, 2022 07:00 MYT
Ismail Sabri berkata, ASEAN kini sedang giat berusaha meminta agar pelaksanaan Kod Tatalaku di Laut China Selatan dapat disegerakan.- Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Indonesia mampu menyelesaikan isu dalaman dan global melibatkan negara anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) dengan lebih baik dan cepat, khususnya di bawah kepengerusiannya untuk blok serantau 10 negara itu tahun depan.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ini berikutan negara itu berpengaruh besar serta mempunyai kesalinghubungan kerjasama ekonomi yang baik dengan negara anggota ASEAN serta banyak negara luar lain.
"Indonesia sebuah negara yang sangat berpengaruh dan dengan pakatan ekonomi sesama negara ASEAN yang berupaya menarik banyak pelaburan, Indonesia (turut) mampu menyelesaikan isu-isu dalaman lain yang berlaku.
"Seperti isu Laut China Selatan, krisis politik di Myanmar dan etnik Rohignya, saya percaya Indonesia dapat selesaikan dengan baik serta cepat, dengan syarat mendapat sokongan negara anggota ASEAN yang lain.
"Saya juga yakin, bukan sahaja Malaysia, bahkan negara anggota ASEAN yang lain akan turut bekerjasama dengan Indonesia (yang berpengaruh besar) sebagai negara Pengerusi ASEAN nanti," katanya.
Ismail Sabri berkata demikian ketika satu sesi soal jawab bersama beberapa wakil media luar negara dan Bernama bersempena dengan genap satu tahun beliau menjawat jawatan Perdana Menteri.
Pada 21 Ogos tahun lalu, beliau mengambil alih jawatan nombor satu negara selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan perletakan jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan susulan kehilangan sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat.
Indonesia bakal mempengerusikan ASEAN 2023, mengambil alih kerusi itu daripada Cambodia tahun ini.
Mengulas lanjut mengenai ASEAN, Ismail Sabri berkata negara anggota blok serantau itu juga kini sedang giat berusaha meminta agar pelaksanaan Kod Tatalaku (CoC) di Laut China Selatan dapat disegerakan.
Beliau berkata Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS 1982) sewajarnya dipatuhi termasuk oleh China supaya keadaan menjadi bertambah baik.
"Setiap kali ASEAN Summit diadakan dan apabila timbul isu melibatkan ASEAN-China, hampir seluruh negara anggota ASEAN membangkitkan soal Laut China Selatan dan perlunya China mematuhi UNCLOS 1982.
"UNCLOS 1982 adalah undang-undang antarabangsa yang patut dipatuhi. Malaysia, Vietnam dan Filipina antara negara yang terkesan secara terus (direct) dengan dasar China, khususnya berkaitan kedudukan negara-negara ini di 'nine-dash line'.
"Kalau boleh China dapat mematuhi CoC, banyak isu boleh diselesaikan. Freedom of navigation perlu dihormati oleh semua pihak," tambah beliau.
Terbaru, media antarabangsa melaporkan ASEAN menyasarkan tahun ini dalam menyiapkan CoC untuk menghalang konfrontasi bersenjata di Laut China Selatan.
Menjawab pertanyaan tentang ketegangan antara China dan Amerika Syarikat memuncak selepas lawatan kontroversi Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) Nancy Pelosi ke Taiwan baru-baru ini, Ismail Sabri menegaskan Malaysia kekal dengan pendiriannya mengiktiraf 'Dasar Satu China'.
Ismail Sabri berkata pada masa yang sama Amerika Syarikat dan Taiwan juga mempunyai hubungan bilateral.
Pelosi merupakan ahli politik AS paling kanan untuk melawat negara pulau itu dalam tempoh 25 tahun. China menganggap pulau dengan pemerintahan tersendiri itu sebagai wilayahnya di bawah dasar Satu China.
Taiwan bagaikan dikepung dengan China melakukan latihan ketenteraan besar-besaran selepas Pelosi meninggalkan pulau itu pada Rabu (3 Ogos). Media antarabangsa melaporkan bahawa tentera China digerakkan ke perairan Taiwan sehingga menutup laluan.
-- BERNAMA
#ismail sabri yaakob #Indonesia #isu global #ASEAN
;