Indonesia mahu meletakkan asas kukuh wawasan "ASEAN 2045" - Menteri Luar Indonesia

Bernama
Mei 5, 2023 19:07 MYT
Menurut Marsudi, usaha itu penting untuk dilakukan bagi menghadapi cabaran ASEAN bagi tempoh jangka panjang. - Fail/FB
JAKARTA: Indonesia selaku pengerusi ASEAN tahun ini berhasrat meletakkan asas kukuh bagi wawasan jangka panjang pasca 2025 dalam jangka masa 20 tahun atau dipanggil "ASEAN 2045", kata Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi.
Perkara itu antara ditekankan semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 yang berlangsung minggu depan seiring usaha membangunkan kerjasama konkrit dan inklusif demi menjadikan Indo-Pasifik sebagai rantau yang aman dan makmur.
"Usaha ini penting untuk dilakukan bagi menghadapi cabaran ASEAN bagi tempoh jangka panjang. Di sinilah kapasiti dan pengukuhan institusi diperlukan agar ASEAN lebih cerdas," katanya.
Indonesia juga akan terus mendorong kerjasama dalam bidang kesihatan, tenaga, kestabilan kewangan, pemerdagangan manusia melibatkan penipuan dalam talian dan pelaksanaan ASEAN Outlook on Indo-Pacific (AOIP).
"Rundingan mengenainya sedang dilakukan terutama membabitkan dokumen-dokumen yang akan dihasilkan dalam sidang kemuncak kali ini," kata Retno dalam taklimat media hari ini.
Antara isu yang bakal dirunding pada Sidang Kemuncak ASEAN termasuk krisis di Myanmar, keahlian penuh Timor-Leste dalam Asean, rundingan mengenai Tatakelakuan di Laut China Selatan dan pemerdagangan manusia.
Menurut Retno, Sidang Kemuncak ASEAN di Labuan Bajo, Nusa Tenggara Timur yang dijadual berlangsung pada 10 hingga 11 Mei bakal dihadiri lapan pemimpin negara serta Setiausaha Agung ASEAN dan Perdana Menteri Timor Leste.
Myanmar tidak diundang pada sidang kemuncak itu, manakala Thailand akan diwakili Timbalan Perdana Menteri Don Pramudwinai, selaku Duta Khas berikutan pilihan raya umum di negara itu yang berlangsung pada 14 Mei, katanya.
Para pemimpin dijadual mengadakan mesyuarat dengan Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN, Belia ASEAN, Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN dan Pasukan Petugas Peringkat Tinggi.
Mengenai Myanmar, Retno berkata Indonesia mengambil pendekatan 'diplomasi bukan megafon', dan telah melaksanakan pendekatan melebihi 60 sesi dengan pelbagai pihak di negara itu agar dialog nasional yang inklusif segera dilakukan.
"Namun harus diakui bahawa perbezaan posisi di antara pihak berkepentingan utama di Myanmar masih meruncing," katanya, merujuk kepada National Unity Government (NUG), State Administration Council (SAC) dan Ethnic Armed Organisations (EAO).
Perkembangan di Myanmar dan misi bantuan kemanusiaan yang dikoordinasi Setiausaha Agung ASEAN melalui ASEAN Coordinating Centre For Humanitarian Assistance akan dibentangkan semasa sidang kemuncak itu nanti.
-- BERNAMA
#ASEAN 2045 #wawasan #menteri luar Indonesia #Retno Marsudi
;