Indonesia mahu konsep wasatiyyah diperluas ke peringkat global

Bernama
Januari 27, 2015 19:56 MYT
Jusuf Kalla berkata konsep wasatiyyah perlu dikembangkan ke seluruh dunia supaya semua pihak dapat memahami bahawa Islam adalah agama yang sederhana dan aman. - Gambar fail
Indonesia mahu konsep pemikiran Islam sederhana atau wasatiyyah yang dicetuskan oleh Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak, diperluaskan ke peringkat global.
Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla berkata konsep itu perlu dikembangkan ke seluruh dunia supaya semua pihak dapat memahami bahawa Islam adalah agama yang sederhana dan aman.
Katanya, menerusi konsep wasatiyyah, ia dapat memperbetulkan pandangan sesetengah pihak yang sering menyifatkan Islam sebagai agama yang radikal.
"Kita mahu konsep wasatiyyah ini dikembangkan di seluruh dunia dan menjadi rujukan dunia mengenai Islam," katanya kepada Bernama selepas menerima kunjungan Penasihat Kerajaan Malaysia Dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan Tan Sri Dr Rais Yatim di Pejabat Naib Presiden Republik Indonesia di sini hari ini.
Beliau berkata, konsep wasatiyyah sebenarnya tidak dapat ditonjolkan oleh banyak negara Islam termasuk di negara-negara Timur Tengah tetapi ia adalah amalan bagi umat Islam di Nusantara terutamanya umat Islam di Indonesia dan Malaysia.
Najib pernah melontarkan pandangannya mengenai konsep wasatiyyah di pentas antarabangsa sebagai usaha menonjolkan ajaran Islam sebenar dan membantah tindakan pihak pelampau yang melakukan keganasan dengan menggunakan nama Islam.
Mengenai perjumpaan dengan Rais, Jusuf berkata antara perkara yang dibincangkan adalah berhubung cadangan mempergiatkan semula aktiviti bahasa dan kebudayaan bersama.
"Setelah melihat perkembangan, terdapat banyak hal berkaitan kebudayaan dan bahasa dan kita mahu tingkatkan kerjasama bahasa Indonesia dan bahasa Melayu.
"Kita juga mahu tingkat kegunaan (bahasa Melayu) sehingga di peringkat internasional (antarabangsa) dn menjadi bahasa ilmu kerana sebanyak 300 juta penduduk di dunia ini bertutur menggunakan bahasa itu," katanya.
Beliau berkata, jumlah itu adalah melebihi jumlah penutur dalam bahasa Perancis dan Jerman serta tidak ada sebab kenapa ia tidak boleh dijadikan bahasa ilmu.
Jusuf berkata, sebagai permulaan, lembaga kerjasama bahasa dan budaya Malaysia-Indonesia yang pernah diwujudkan akan diaktifkan semula dengan menandatangani satu persefahaman bersama (MoU) bagi menjalankan aktiviti bahasa dan budaya secara meluas.
Katanya lembaga itu sebelum ini telah menjalankan usaha sama bahasa Melayu dan Indonesia dengan memberi penekanan terhadap penggunaan bahasa yang sama.
Beliau berkata, lembaga itu kini perlu diaktifkan semula dengan meningkatkan lagi perananan untuk menjadikan bahasa Indonesia dan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu bertaraf antarabangsa.
Sementara itu, Rais berkata Malaysia berbangga dan menyambut baik pandangan jauh Naib Presiden Indonesia itu dan menyifatkannya sebagai satu usaha untuk meningkatkan martabat bahasa Melayu.
Beliau yang juga presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, pihaknya akan berusaha mengadakan jaringan antara universiti-universiti utama kedua-dua buah negara bagi menjalinkan kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk bahasa dan kebudayaan.
Katanya, aktiviti hubungan masyarakat antara rakyat Indonesia dan Malaysia menerusi Yayasan Ikatan Rakyat Malaysia Indonesia (Yirmi) akan memperhebatkan aktivitinya bagi mengapungkan para ilmuan tempatan Malaysia dan Indonesia.
"Bahasa Melayu dan bahasa Indonesia telah lama menjadi lingua franca di Nusantara dan ia dipandang tinggi oleh masyarakat zaman dahulu malah sejak zaman maharaja China, bahasa Indonesia telahpun popular," katanya.
Rais berkata, satu gagasan antara Malaysia, Indoneisa, selatan Thailand, Brunei dan Filipina harus diwujudkan agar bahasa dan budaya Nusantara dapat dikembangkan di peringkat antarabangsa.
Yang turut hadir dalam majlis kunjungan itu ialah Duta Besar Malaysia di Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim.
#Global #Indonesia #Islam #Jusuf Kalla #Malaysia #Najib Razak #Wasatiyyah
;