Indonesia: Lebih 205 juta pengundi layak mengundi pada pilihan raya 2024

Bernama
April 20, 2023 13:37 MYT
Indonesia dijangka menyediakan 823,287 pusat mengundi di dalam dan luar negara. - Fail/AP
JAKARTA: Lebih 205 juta rakyat Indonesia yang tinggal di dalam dan luar negara layak mengundi dalam pilihan raya umum yang dijadualkan pada 14 Feb 2024, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU).
Bercakap pada mesyuarat pleno KPU pada Selasa, Pengerusi KPU Hasyim Asy berkata daripada jumlah itu, lebih 102.8 juta merupakan pengundi lelaki dan 103 juta lagi adalah wanita, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).
Senarai ini berdasarkan laporan yang diterima daripada 38 wilayah/bandar di negara ini dan beberapa pusat mengundi di luar negara.
Indonesia dijangka menyediakan 823,287 pusat mengundi di dalam dan luar negara.
Data KPU menunjukkan sekitar 192.8 juta pengundi yang layak mengundi pada pilihan raya 2019.
KPU juga mengumumkan sebanyak 17 parti dijangka bertanding pada pilihan raya 2024, berbanding 14 pada 2019, lapor VNA.
Tiga ahli politik yang menjadi pilihan utama berdasarkan tinjauan umum ialah Menteri Pertahanan Prabowo Subianto, Gabenor Jawa Tengah Ganjar Pranowo dan bekas gabenor Jakarta Anies Baswedan.
-- BERNAMA
#Pilihan Raya Indonesia #Pemilu #Suruhanjaya Pilihan Raya Umum Indonesia #Prabowo Subianto
;