Indonesia lancar operasi jejaki kapal selam hilang dengan 53 anggota

Agensi
April 21, 2021 19:12 MYT
Kali terakhir kapal selam itu membuat perhubungan adalah pada jam 3 pagi tadi waktu tempatan. - Foto Facebook/Pusat Penerangan TNI
JAKARTA: Angkatan tentera laut Indonesia melancarkan operasi mencari sebuah kapal selam dengan 53 anggotanya yang dilaporkan hilang pada Rabu.
Kapal selam milik Angkatan Laut Indonesia (TNI) dilaporkan hilang di perairan utara kepulauan Bali.
Menurut Panglima TNI, Marsekal Hadi Tjahjanto, kapal buatan Jerman, KRI Nanggala-402 tersebut sedang melakukan latihan tembakan torpedo pada Rabu dan kemudian gagal melaporkan keputusan seperti yang dijadualkan.
Hadi mengesahkan kepada agensi berita Reuters, menara kawalan telah terputus hubungan dengan kapal tersebut pada sekitar jam 3 pagi waktu tempatan.
Susulan itu, operasi pencarian dilancarkan.
Indonesia pada masa sama meminta bantuan pihak berkuasa dari Australia dan Singapura bagi operasi mencari tersebut.
Setakat ini, kapal tersebut disyaki berada di dasar laut dengan kedalaman 700 meter.
Sebagai rekod, KRI Nanggala-402 mempunyai kelajuan sehingga 21.5 knot dan kapal seberat 1,395 tan itu dibina pada tahun 1978.
#Indonesia #hilang #kapal selam #operasi latihan #kapal selam hilang #Ketua Angkatan Tentera Indonesia #Singapura #Bali
;