Indonesia lancar kempen melawan asap
Ian Johan Ariff
September 15, 2015 17:15 MYT
September 15, 2015 17:15 MYT
Bukan sahaja di Malaysia malah rakyat Indonesia turut mengadakan kempen besar-besaran untuk mendesak kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab dalam aktiviti pembakaran hutan di negara itu.
Menerusi kempen #MelawanAsap atau #MasihMelawanAsap, warga Indonesia berkongsi mesej tentang masalah jerebu yang amat serius di Indonesia.
Bagi rakyat Indonesia, aktiviti pembakaran hutan dilakukan oleh pihak yang rakus mengaut keuntungan dan juga rasuah tanpa memikirkan kesannya kepada alam sekitar.
Rahmi Carolina antara yang berkongsi mesej di media sosial bahawa alam sekitar lebih penting daripada wang.
Kempen melawan asap ini menegaskan kepada pihak berkuasa untuk mementingkan kesihatan penduduk Riau dengan memastikan tiada lagi aktiviti pembakaran hutan di masa hadapan.
Indonesia hari ini mengisytiharkan Riau sebagai kawasan darurat setelah keadaan jerebu di wilayah tersebut dilapor berada pada tahap sangat berbahaya.
Media tempatan melaporkan Indeks Pencemaran Udara di Riau melebihi bacaan 900 dengan tahap penglihatan tidak sampai 100 meter yang mengakibatkan aktiviti ekonomi dan sosial temasuk di Lapangan Terbang Internasional Sultan Syarif Kasim II lumpuh.