Indonesia lancar kempen kutipan AS$200 juta untuk Palestin

Bernama
Februari 26, 2025 06:30 MYT
Tentera Israel kelihatan di sebelah Israel sempadan dengan Gaza, di tengah-tengah gencatan senjata antara Israel dan Hamas, 11 Feb 2025. - Gambar hiasan/REUTERS
JAKARTA: Kementerian Luar Indonesia dengan kerjasama Majlis Ulama Indonesia (MUI) dan Badan Amil Zakat Nasional (Baznas) telah melancarkan kempen bagi mengumpul US$200 juta dalam bentuk bantuan kemanusiaan untuk Palestin, lapor agensi berita ANTARA.
Timbalan Menteri Luar, Anis Matta pada majlis pelancaran kempen itu di Jakarta pada Rabu menyatakan keyakinannya untuk mencapai sasaran pengumpulan dana berkenaan sambil memaklumkan bahawa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) setakat ini telah berjaya mengumpul jumlah itu.
Kementerian itu tidak menetapkan tempoh bagi pengumpulan dana, namun kempen berkenaan akan bermula pada Ramadan, dengan dana yang dikumpul diperuntukkan untuk bantuan kemanusiaan dan usaha pembinaan semula di Gaza.
"Kami memulakannya pada Ramadan untuk dua program. Terdapat program kecemasan sekarang ketika tempoh gencatan senjata dan juga kemudian untuk program pembinaan semula Gaza selepas itu," kata Matta.
Beliau menjelaskan, kempen itu, yang turut melibatkan puluhan institusi zakat dan kemanusiaan adalah hasil dialog sejak tiga bulan lepas bagi memulakan gerakan solidariti yang diselaraskan dalam mengagihkan bantuan ke Palestin dengan tiga matlamat utama.
"Yang pertama ialah program strategik, diikuti oleh program yang memberi impak, iaitu membawa manfaat kepada rakyat Palestin, manakala yang ketiga bersifat simbolik dengan mewakili kehadiran kami sebagai negara Islam terbesar di dunia," jelasnya.
Sementara itu, Ketua Baznas bagi Perancangan, Kajian dan Pembangunan, Zainul Bahar turut melahirkan keyakinan terhadap pengumpulan dana itu.
Bahar memaklumkan, Baznas berjaya mengumpul dana untuk Palestin berjumlah lebih Rp320 bilion (US$19 juta).
Daripada jumlah itu, Rp200 bilion (US$12 juta) akan diagihkan untuk pendidikan, pembinaan hospital dan perumahan di Gaza.
-- BERNAMA
#pembinaan semula Gaza #kutipan dana #Indonesia #bantuan kemanusiaan #Gaza
;