Indonesia kutuk serangan udara Israel ke atas kem pelarian Rafah

Bernama
Februari 13, 2024 21:45 MYT
Indonesia mengecam sekeras-kerasnya serangan udara Israel ke atas kem pelarian di Rafah baru-baru ini, yang mengakibatkan banyak kematian melibatkan orang awam Palestin. - Gambar fail/REUTERS
JAKARTA: Indonesia mengecam sekeras-kerasnya serangan udara Israel ke atas kem pelarian di Rafah baru-baru ini, yang mengakibatkan banyak kematian melibatkan orang awam Palestin, selain rancangan rejim Zionis untuk melancarkan serangan darat di bandar itu.
Kementerian Luar Indonesia berkata: "Serangan itu dipercayai sebahagian daripada strategi yang lebih luas oleh Israel untuk mengusir rakyat Palestin dari tanah air mereka dan menjejaskan masa depan kemerdekaan Palestin."
Dalam satu kenyataan di X, kementerian itu mengulangi gesaan Indonesia untuk tindakan segera oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi menghentikan serangan Israel dengan menekankan kepentingan untuk mempertahankan Undang-undang Kemanusiaan Antarabangsa.
Pihak berkuasa kesihatan di Rafah melaporkan bahawa lebih 100 orang awam, termasuk kanak-kanak dan wanita terbunuh, dengan ratusan lagi cedera.
-- BERNAMA
#Indonesia #kutuk serangan #Israel #kem pelarian Rafah
;