Indonesia kutuk pembunuhan beramai-ramai Israel di kem pelarian Gaza

Bernama
Julai 14, 2024 17:47 MYT
Serangan di kem pelarian Khan Younis menunjukkan pencabulan undang-undang antarabangsa yang berterusan oleh Israel, tegas Kementerian Luar Indonesia. - Reuters
BANDUNG: Indonesia mengutuk sekeras-kerasnya kekejaman dan pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh Israel terhadap rakyat Palestin yang berlaku lagi pada Sabtu di kem pelarian di Khan Younis, selatan Gaza.
"Tindakan ini menunjukkan pencabulan undang-undang antarabangsa yang berterusan oleh Israel," menurut Kementerian Luar Indonesia dalam satu kenyataan pada Ahad, lapor Agensi Berita ANTARA.
Indonesia menggesa masyarakat antarabangsa mengambil langkah konkrit untuk memastikan Israel bertanggungjawab atas tindakannya yang telah menyebabkan penderitaan yang tidak terkira banyaknya kepada rakyat Palestin. Indonesia juga menekankan bahawa undang-undang antarabangsa harus terpakai kepada semua negara tanpa pengecualian.
Sekurang-kurangnya 90 rakyat Palestin terbunuh dan 300 lagi cedera dalam serangan terbaru Israel ke atas kem pelarian di Al-Mawasi, Khan Younis.
Media tempatan menyifatkan serangan itu sebagai "pembunuhan beramai-ramai besar-besaran" oleh Israel, yang telah menetapkan Al-Mawasi sebagai "zon selamat."
Pihak Berkuasa Palestin (PA) segera menuduh Amerika Syarikat (AS) terlibat dalam serangan itu. Mereka menggesa masyarakat antarabangsa campur tangan segera untuk menghentikan kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin.
"AS berterusan melanggar semua resolusi legitimasi antarabangsa dengan sentiasa memberikan sokongan kewangan dan ketenteraan kepada pendudukan Israel yang melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat kami setiap hari," kata jurucakap presiden Palestin, Nabil Abu Rudeineh.
Serangan Israel di Gaza sejak 7 Oktober 2023 telah membunuh lebih 38,300 rakyat Palestin kebanyakannya wanita dan kanak-kanak dan mencederakan lebih 88,000 yang lain.
-- BERNAMA
#Khan Younis #pembunuhan beramai-ramai #Gaza #Palestin #Israel #Indonesia
;