Indonesia kukuhkan pertahanan maritim selepas tuntutan Beijing ditolak

Agensi
Julai 13, 2016 18:08 MYT
Foto pada awal Jun lalu menunjukkan pasukan keselamatan maritim Indonesia menahan sebuah bot nelayan dari China di perairannya. - Foto AFP
Indonesia mengukuhkan srategi keselamatan di kepulauannya di Laut China Selatan terutama di lokasi yang pernah dicerobohi kapal-kapal China, kata Menteri pertahanan negara itu pada Rabu, sehari selepas tuntutan Beijing ke atas wilayah itu ditolak Mahkamah Tetap Timbang Tara.
Dalam temu bual dengan AFP, Ryamizard Ryacudu berkata mekanisme pertahanan di sekeliling Kepulauan Natuna melibatkan kapal perang, jet pejuang F-16, peluru berpandu darat-ke-udara, radar dan dron, selain membina pelabuhan baharu serta memperbaiki landasan pendaratan pesawat.
Semua penambahbaikan itu yang telah bermula beberapa bulan lalu, dijangka siap dalam tempoh setahun.
“Ini akan menjadi mata dan telinga kami. Kami boleh memantau perkembangan di Natuna dan kawasan sekitar di Laut China Selatan,” ujar Ryamizard.
Indonesia telah lama memantau dan menyelenggara kawasan tersebut dan belum pernah terlibat dalam pertelingkahan maritim dengan China, serta tidak menuntut pemilikan mana-mana kawasan.
Namun, tuntutan Beijing bertindih dengan zon ekonomi eksklusif Indonesia di Natuna, hingga menyaksikan beberapa siri pertembungan antara pasukan pengawal perairan Indonesia dengan bot-bot nelayan dan kapal pengawal China.
Setelah beberapa kejadian pertembungan seumpamanya, Presiden Joko Widodo telah melawat natuna menaiki kapal perang dengan anggota Kabinetnya sebagai mesej kepada China bahawa jakarta serius dalam mempertahankan wilayahnya.
Ryacudu juga memberitahu, Indonesia akan menyiapkan berek dan kediaman di Natuna seterusnya menghantar angkatan udara dan marin termasuk pasukan tentera untuk berada di situ.
Pada Selasa, Mahkamah Tetap Timbang Tara di The Hague memutuskan China tidak mempunyai asas undang-undang untuk membuat tuntutan 'hak sejarah' ke atas gugusan pulau di Laut China Selatan.
#Beijing #China #Indonesia #Laut China Selatan #Natuna #pertahanan maritim
;