Indonesia komited bangunkan industri kimia, tenaga - Widodo
Bernama
Julai 29, 2023 21:19 MYT
Julai 29, 2023 21:19 MYT
JAKARTA: Indonesia komited untuk membangunkan industri kimia dan tenaga, kata Presiden Joko Widodo semasa pertemuan dengan ahli perniagaan China di Chengdu, China, pada Jumaat, lapor agensi berita ANTARA.
"Indonesia komited untuk membangunkan industri kimia dan tenaga di negara ini, khususnya di Kalimantan Utara," katanya.
Widodo menekankan kepentingan peraturan kerajaan dalam dasar industri negara untuk menyokong ekonomi hijau yang disasarkan.
"(Peraturan) mengandungi sasaran, penggunaan, penyediaan, dan pengedaran bahan kimia berasaskan minyak, gas dan arang batu," katanya.
Beliau seterusnya berkata, ahli perniagaan yang menghadiri mesyuarat itu diharap dapat memainkan peranan dalam pembangunan industri kimia di Indonesia.
"Indonesia menyasarkan untuk menjadi pengeluar petrokimia terbesar di Asia," katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pemimpin perniagaan yang melabur dalam pembangunan beberapa kawasan perindustrian di Indonesia, termasuk pembinaan kilang penapisan petrokimia di Kalimantan.
Dalam pertemuan itu, Presiden Widodo diiringi beberapa menteri termasuk Menteri Koordinator Pembangunan Manusia dan Hal Ehwal Kebudayaan Muhadjir Effendy; Menteri Penyelaras Maritim dan Hal Ehwal Pelaburan Luhut Binsar Pandjaitan; dan Menteri Luar Negeri Retno Marsudi.
Menteri Pelaburan Bahlil Lahadalia, dan Duta Besar Indonesia ke ChinaDjauhari Oratmanguna turut menyertai mesyuarat itu.
--BERNAMA-ANTARA
#kilang penapisan petrokimia
#pengeluar petrokimia terbesar
#industri kimia dan tenaga
#ekonomi hijau