Indonesia kecilkan zon berbahaya volkano Gunung Agung di Bali
Bernama
Januari 4, 2018 04:31 MYT
Januari 4, 2018 04:31 MYT
Kerajaan Indonesia telah mengecilkan zon berbahaya volkano Gunung Agung di pulau peranginan Bali, sekali gus membolehkan beribu-ribu penduduk tersingkir yang tinggal di luar zon itu kembali ke rumah masing-masing, lapor agensi berita China memetik kenyataan seorang pegawai kerajaan.
Agensi vulkanologi Indonesia pada Khamis mengumumkan bahawa zon pemindahan dari kawah gunung berapi itu telah dikecilkan kepada 6 kilometer radius berbanding 8 hingga 10 kilometer sebelum ini.
"Bermula hari ini (Khamis), zon berbahaya Gunung Agung dikurangkan kepada 6 kilometer dari kawah. Penduduk yang sedang berlindung di tempat lain boleh kembali ke rumah masing-masing selagi rumah mereka terletak di luar radius 6 kilometer dari kawah itu," kata Menteri Tenaga dan Sumber Mineral Indonesia Ignasius Jonan.
Volkano Gunung Agung masih berada pada tahap amaran tertinggi kerana aktiviti seismiknya kekal tinggi, kata Ketua Agensi Geologi Indonesia Rudy Suhendar.
Kira-Kira 44,000 orang melarikan diri dari rumah masing-masing dan mencari perlindungan susulan letusan volkano Gunung Agung, demikian menurut agensi pengurusan bencana nasional Indonesia.
-- BERNAMA
#amaran
#Bali
#Gunung Agung
#gunung berapi
#Indonesia
#Penduduk
#seismik
#volkano
#zon berbahaya
#zon pemindahan