Indonesia kecam serangan terbaharu Israel di Khan Younis

Bernama
Januari 25, 2024 16:31 MYT
Kementerian Luar Indonesia menegaskan bahawa serangan Israel ke atas kemudahan pelarian PBB di Khan Younis baru-baru ini satu lagi tindakan rejim itu yang mencabuli undang-undang antarabangsa. - Gambar fail/AP
JAKARTA: Kementerian Luar Indonesia menegaskan bahawa serangan Israel ke atas kemudahan pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Khan Younis baru-baru ini satu lagi tindakan rejim itu yang mencabuli undang-undang antarabangsa.
Kementerian itu menerusi platform media sosial X mengeluarkan kenyataan pada Khamis bahawa "Indonesia mengutuk sekeras-kerasnya serangan Israel ke atas kemudahan pelarian PBB di Khan Younis, Gaza hingga mengakibatkan nyawa terkorban."
Pada Rabu, sekurang-kurangnya sembilan orang terbunuh manakala 75 lagi cedera dalam serangan di pusat perlindungan kedua terbesar di Gaza yang dikendalikan Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA).
Menurut pesuruhjaya UNRWA Philippe Lazzarini, kira-kira 30,000 orang cuba mendapatkan perlindungan di tapak itu dan angka kematian mungkin meningkat, .
Beliau menyifatkan insiden itu sebagai "mengabaikan peraturan asas perang secara terang-terangan."
Dalam satu kenyataan, Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB (OHCHR) memaklumkan tragedi itu mendorong beribu-ribu penduduk mencari perlindungan di Rafah yang kini menjadi tuan rumah kepada lebih 50 peratus penduduk Gaza.
Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan sebanyak 195 kematian dalam tempoh 24 jam dari 22 hingga 23 Jan.
-- BERNAMA
#Indonesia #kecam #serangan Israel #Khan Younis
;