Indonesia kecam provokasi Israel di Al-Aqsa semasa perarakan bendera
Bernama
Jun 7, 2024 23:43 MYT
Jun 7, 2024 23:43 MYT
JAKARTA: Kerajaan Indonesia mengecam ratusan peneroka Israel yang memasuki kawasan Masjid Al-Aqsa di Kota Lama Baitulmuqaddis yang diduduki semasa acara Perarakan Bendera mereka pada Rabu.
"Tindakan sedemikian adalah sangat provokatif dan sangat menyinggung perasaan umat Islam di seluruh dunia," kata Kementerian Luar Indonesia dalam satu hantaran di platform media sosial X pada Khamis malam, lapor agensi berita ANTARA.
Masjid Al-Aqsa adalah tempat ketiga paling suci dalam Islam, selepas Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabi di Madinah, Arab Saudi.
Dalam kenyataannya, Kementerian Luar Indonesia mengulangi gesaan agar semua bentuk pelanggaran dan tindakan kekerasan yang dilakukan oleh pasukan tentera Israel di wilayah yang diduduki Palestin, termasuk Semenanjung Gaza, dihentikan segera.
Mengenai Perarakan Bendera, Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA) melaporkan pada 5 Jun ribuan peneroka Israel, diiringi oleh polis Israel, menyerbu Kota Lama Baitulmuqaddis yang diduduki bagi memulakan acara itu.
Memasuki melalui Pintu Jaffa dan Pintu Damsyik, mereka berarak melalui kejiranan Kota Lama ke Plaza Tembok Barat, bersebelahan dengan Masjid Al-Aqsa, menurut WAFA..
Perarakan Bendera adalah acara tahunan yang menandakan ulang tahun pendudukan Baitulmuqaddis pada 1967.
Perarakan mengibarkan bendera Israel itu disertai oleh menteri-menteri kerajaan Israel dan ahli Knesset, termasuk Menteri Keselamatan Nasional Itamar Ben-Gvir, Menteri Kewangan Bezalel Smotrich, Menteri Warisan Amihai Eliyahu, dan Menteri Pengangkutan Miri Regev.
--BERNAMA-ANTARA