Indonesia kecam lawatan Menteri Israel ke Masjid Al-Aqsa

Bernama
Januari 5, 2023 14:52 MYT
Laporan menyebut Itamar melawat pekarangan Masjid Al-Aqsa yang dikawal oleh polis Israel pada Selasa, kunjungan pertama ke tapak suci itu sejak memegang jawatan sebagai menteri keselamatan negara minggu lepas. - Foto Atef Safadi/Pool via REUTERS
JAKARTA: Kementerian Luar Indonesia mengecam pencerobohan menteri Israel ke kompleks Masjid Al-Aqsa baru-baru ini, dengan menyifatkannya sebagai 'tindakan provokasi'.
Menurut kementerian tindakan sedemikian boleh meningkatkan lagi ketegangan dan mencetuskan kitaran keganasan baharu di Palestin.
"Indonesia menggesa Israel menghormati status quo yang dipersetujui bersama dan mengelak daripada perbuatan dan provokasi yang mencemarkan kesucian tapak suci di Baitulmaqdis itu," menurut kenyataan kementerian.
Kementerian itu juga menggesa masyarakat antarabangsa, khususnya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, supaya mendesak Israel menghentikan semua tindakan yang memberi kesan kepada kestabilan dan keselamatan di rantau itu.
"Indonesia sekali lagi menekankan pentingnya proses damai Palestin-Israel berdasarkan penyelesaian dua negara selaras dengan keputusan yang dipersetujui di peringkat antarabangsa," menurut kenyataan itu.
Laporan menyebut Itamar Ben-Gvir melawat pekarangan Masjid Al-Aqsa yang dikawal oleh polis Israel pada Selasa, kunjungan pertama ke tapak suci itu sejak memegang jawatan sebagai menteri keselamatan negara minggu lepas.
-- BERNAMA
#Masjid Al-Aqsa #Kementerian Luar Indonesia #Baitulmaqdis #Itamar Ben-Gvir
;