Indonesia jangka Mei-Jun kemuncak sebaran COVID-19 dengan 95,000 kes

Agensi
April 16, 2020 04:58 MYT
Seorang anggota polis memberikan topeng penutup mulut dan hidung pada seorang lelaki sewaktu pemeriksaan jarakan sosial di tempat awam di Jakarta. -Reuters
Indonesia menjangka jumlah kes koronavirus akan sampai kemuncak di antara Mei dan Jun dengan sekitar 95,000 jangkitan, ujar penasihat kerajaan pada Khamis.
Reuters melaporkan jangkaan tersebut adalah berdasarkan trend penularan wabak berkenaan di republik itu.
Pakar-pakar kesihatan selama ini memberi amaran bahawa Indonesia berdepan lonjakan kes yang tinggi selepas negara itu disifatkan sedikit terlambat mengawal skala jangkitan yang kini sudah merekodkan sekurang-kurangnya 5,516 kes dengan 496 kematian.
Jumlah korban itu adalah yang tertinggi di Asia Timur, selepas China.
“Kami percaya kemuncak pandemik di Indonesia akan bermula pada awal Mei dan akan berlanjutan sehingga awal Jun,” ujar pakar kesihatan awam, Wiku Adisasmito yang juga merupakan penasihat kepada pasukan bertindak COVID-19 Indonesia.
Tambahnya, jumlah kes positif semasa kemuncak boleh mencecah 95,000 orang.
Merujuk kepada model epidemiologik dari pelbagai institusi, termasuk Universiti Harvard, Adisasimto berkata kes positif boleh mencapai angka 106,000 menjelang Julai.
Satu lagi model kajian oleh Fakulti Kesihatan Awam Universiti Indonesia menunjukkan kebimbangan apabila menjangkakan lebih 140,000 kematian dan 1.5 juta kes jangkitan boleh terjadi di seluruh negara itu menjelang Mei, kecuali jika pihak pemerintah mengambil tindakan lebih tegas.
Sehingga kini, Indonesia sudah menjalankan hampir 40,000 ujian reaksi rantaian polymerase (PCR) untuk mengesan virus tersebut.
Ketua pasukan bertindak COVID-19 Doni Monardo dalam satu taklimat memberitahu pihak pemerintah menyasarkan untuk menjalankan sekurang-kurangnya 10,000 ujian sehari.
Indonesia berdepan kritikan kerana jumlah saringan yang rendah dan sedang berusaha untuk mendapatkan kit pengujian sebanyak dan sepantas mungkin.
Pegawai Kementerian Kesihatan Achmad Yurianto berkata pihaknya merujuk kepada Singapura untuk mendapatkan kit yang diperlukan.
Sementara itu, Monardo memaklumkan hanya penganggur yang akan dibenarkan untuk melakukan perjalanan balik kampung, yang dikenali sebagai mudik, pada akhir bulan puasa nanti.
Biarpun perkara itu meningkatkan kemungkinan penyebaran virus, terutama di daerah terpencil yang tidak dilengkapi kemudahan kesihatan, Presiden Joko Widodo tidak mewartakan sebarang larangan.
Tambah Monardo, mereka yang balik kampung harus menjalani kuarantin selama 14 hari, dan menegaskan kesihatan golongan ini lebih terjamin apabila mereka berada di kampung.
"Salah satu perkara yang digalakkan ialah makan makanan yang sihat. Golongan penganggur merasakan mereka mendapat akses makanan sihat dengan lebih mudah di kampung halaman,” katanya.
#Aidilfitri #balik kampung #COVID-19 #Indonesia #jangkitan #kesihatan awam #koronavirus
;