Indonesia jangka kes COVID-19 cecah 700,000 bulan depan

Firdaus Azil
Mac 27, 2020 17:43 MYT
Presiden Indonesia, Joko Widodo, meninjau sebuah hospital yang mengendalikan kes COVID-19 di Jakarta, baru-baru ini. Gambar fail/ Reuters.
JUMLAH kes positif COVID-19 di Indonesia mungkin akan meningkat antara 600,000 hingga 700,000 orang menjelang hujung April ini, kata jurucakap kerajaan republik itu, Achmad Yurianto.
Beliau yang dipetik Jakarta Globe berkata, ketika ini Indonesia melihat peningkatan kes dari 60 hingga 369 kes, dan pertambahan tujuh kematian menjadikan jumlah keseluruhan terkini sebanyak 32 orang, pada Jumaat.
“Daripada perkiraan kami, jumlah populasi yang mempunyai risiko dijangkiti adalah sekitar 600,000 hingga 700,000.
“Atas sebab itu kerajaan sedang menyediakan satu juta kit ujian bagi pemeriksaan berskala besar untuk mengenal pasti kes positif COVID-19,” katanya dalam perutusan yang disiarkan melalui televisyen di Jakarta.
Achmad berkata, ujian berskala besar itu akan berlandaskan kepada analisa risiko, yang membawa maksud, mereka yang langsung tidak terdedah kepada wabak berkenaan tidak dibenarkan mengambilnya.
Keutamaan akan diberi kepada mereka yang mempunyai kontak dengan pesakit positif COVID-19, jelasnya lagi.
“Apabila seseorang itu positif COVID-19, kami akan mengesan sesiapa sahaja yang mempunyai kontak dengan pesakit itu sepanjang tempoh 14 hari lepas.
“Jika pesakit itu tinggal di rumah, kesemua ahli keluarga mereka akan diarahkan mengambil ujian. Jika berada di pejabat, kesemua orang di pejabat itu akan melalui proses yang sama,” kata Achmad lagi.
Ujian itu, jelas Achmad, akan menggunakan sampel darah untuk memastikan keputusan yang lebih cepat. Jika ada indikasi jangkitan, ujian ‘swab’ akan dilakukan untuk keputusan yang lebih tepat.
#700 000 #berskala besar #COVID-19 #Indonesia #Jakarta #koronavirus #positif #swab #ujian
;