Indonesia hormat hak Malaysia sekat Ulil, kata menteri agamanya

Astro Awani
Oktober 15, 2014 10:56 MYT
Ulil Abshar Abdala
Indonesia menghormati keputusan kerajaan Malaysia menyekat Ketua Jaringan Islam Liberal (JIL) republik itu, Ulil Abshar Abdalla daripada masuk ke negara ini untuk bercakap mengenai Islam, kata Menteri Agamanya, Lukman Hakim Saifuddin.
Katanya, keputusan itu adalah hak kerajaan Malaysia dan tentunya dibuat dengan alasan yang tersendiri yang patut dihormati.
Beliau bagaimanapun berkata kerajaan Indonesia tidak akan melakukan perkara yang sama iaitu melarang perbincangan mengenai masalah agama kerana perbezaan pemikiran harus ditangani dengan dialog.
"Tapi di Indonesia, saya berharap pemerintah kita tak perlu lakukan larangan seperti itu.
"Sekeras, setajam dan sebesar apa pun perbezaan antara kita dalam hal pemikiran keagamaan, justeru harus terus diupayakan untuk didialogkan guna mendapatkan pemahaman titik-titik persamaan dan perbezaannya," kata Lukman Hakim seperti dipetik oleh Republika Online hari ini.
Menteri Agama yang baru dilantik pada 9 Jun lepas itu turut mengajak semua pihak di Indonesia untuk terus menjaga tradisi dialog faham pemikiran keagamaan, baik dalam mahupun antara agama, dengan cara-cara yang santun, lapor portal berita tersebut.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) minggu lalu meminta Kementerian Dalam Negeri menyekat usaha membawa masuk Ulil untuk satu perbincangan meja bulat bertajuk "Tentangan Fundamentalisme Agama di Abad Ini" yang dijadual diadakan pada 18 Oktober ini.
Acara itu dianjurkan oleh kumpulan pemikir, Islamic Renaissance Front (IRF) dengan kerjasama University of Nottingham cawangan Malaysia.
Ahli Sunnah Wal Jamaah
Pengarah JAKIM, Datuk Othman Mustapha berkata acara itu "usaha membawa pemikiran yang bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan dikenal pasti boleh memberi ancaman dan menggugat pegangan akidah umat Islam di Malaysia".
Ulil turut dijadual tampil sebagai panel pembicara pada sebuah persidangan hak asasi manusia di Kuala Lumpur yang bermula hari ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam reaksinya pada Sabtu memaklumkan telah mengarahkan Jabatan Imigresen Malaysia untuk menghalang Ulil daripada masuk ke negara ini.
Katanya, larangan itu berkuatkuasa sehingga Ulil didapati tidak membahayakan.
Ulil dalam reaksinya kesal dengan sekatan itu ketika mana umat Islam memerlukan dialog untuk mengekang fahaman radikal yang sedang membiak di rantau ini.

I am sad that this ban happens in time when Muslim society needs more dialogue to stem radicalism in their midst.

— Ulil Abshar Abdalla (@ulil) October 12, 2014
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.

As in Indonesia, trend of Islamic conservatism seems to be increasing in Malaysia. And this is not good news for Muslim in Nusantara.

— Ulil Abshar Abdalla (@ulil) October 12, 2014
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Ulil turut menyifatkan sekatan ke atasnya sebagai usaha kelompok konservatif yang mahu menekankan budaya pak turut di kalangan masyarakat Islam namun katanya, idea Islam yang progresif tidak akan dapat disekat.
Republika Online pada Isnin melaporkan Ulil akan tetap mengikuti acara yang telah diatur di negara ini melalui Skype.
#Indonesia #Islam #Jaringan Islam Liberal #JIL #Malaysia #Ulil Abshar Abdala
;