Indonesia hantar 2,686 tenaga kerja ke tiga negara termasuk Malaysia
Bernama
September 13, 2022 04:51 MYT
September 13, 2022 04:51 MYT
JAKARTA: Badan Pelindungan Pekerja Migran Indonesia (BP2MI) akan menghantar 2,686 tenaga kerja ke Korea Selatan, Malaysia dan Taiwan.
Ketua BP2MI Benny Rhamdani berkata 126 orang akan dihantar ke Malaysia melalui Kalimantan Barat di bawah program penempatan tenaga kerja antara swasta.
Seramai 2,246 akan dihantar ke Korea Selatan melalui program antara kerajaan dan 314 orang lagi ke Taiwan, katanya dalam satu kenyataan.
Indonesia menikmati kiriman wang daripada pekerja migran yang digelar 'Wira Kiriman Wang' atau 'Remittance Heroes', dengan purata kiriman dari 2015 hingga 2019 mencecah US$9.8 bilion setiap tahun.
Mereka ditawarkan skim pinjaman tanpa penjamin supaya tidak menjual harta atau membuat pinjaman peribadi untuk dijadikan modal bekerja di luar negara, kata Benny.
Lounge khusus disediakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno Hatta di sini dan akan diperluas di lapangan terbang Semarang, Mataram, Surabaya, Denpasar, dan Medan tahun ini.
Klinik perubatan percuma kepada keluarga pekerja migran turut akan dibangunkan.
Pihaknya juga merancang menawarkan skim perumahan bersubsidi dan melonggarkan peraturan kastam mengenai kemasukkan barang apabila mereka pulang, kata Benny.
BP2MI adalah agensi kerajaan yang bertanggungjawab melaksanakan dasar dalam perkhidmatan dan perlindungan pekerja migran Indonesia secara bersepadu.
-- BERNAMA