Indonesia gugur syarat pakai pelitup muka di luar rumah

Astro Awani
Mei 17, 2022 07:32 MYT
Indonesia menggugurkan syarat bagi orang ramai memakai pelitup muka di luar rumah berkuat kuasa hari ini. - Gambar fail/REUTERS
INDONESIA menggugurkan syarat bagi orang ramai memakai pelitup muka di luar rumah dan pengembara divaksin yang menunjukkan ujian negatif sebelum berlepas.
Perkembangan menyusul ketika mana angka jangkitan COVID-19 di negara itu semakin menunjukkan trend penurunan.
Dalam satu kenyataan pada Selasa, Presiden Joko Widodo memaklumkan pelitup muka tidak lagi diperlukan di luar rumah memandangkan wabak kini semakin terkawal.
Bagaimanapun, pelitup muka tetap wajib dipakai di dalam premis tertutup dan pengangkutan awam.
Orang tua dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan atau batuk tahap teruk turut disyorkan terus menggunakan pelitup muka.
Peraturan pelitup muka baharu itu berkuat kuasa pada Rabu (18 Mei).
Dalam pada itu, Indonesia juga tidak lagi memerlukan ujian praberlepas negatif untuk pelancong asing dan domestik.
Langkah terbaharu itu adalah sebahagian daripada langkah peralihan negara itu untuk hidup dengan virus tersebut.
Kelonggaran sekatan wabak di Indonesia itu susulan negara-negara seperti Singapura, Korea Selatan dan Malaysia yang turut menggugurkan mandat pelitup muka dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Kes COVID-19 harian Indonesia juga menurun sejak kemuncak terakhir pada Februari, walaupun kerajaan berkata ia memantau kemungkinan peningkatan selepas ramai yang melakukan perjalanan semasa cuti Aidilfitri awal bulan ini.
#pelitup muka #COVID-19 #Indonesia #trend penurunan
;