Indonesia dilanda lebih 11,500 gempa bumi pada 2018
Kohilah Sekaran
Januari 12, 2019 20:14 MYT
Januari 12, 2019 20:14 MYT
Indonesia dilanda 11,557 gempa bumi pada tahun 2018, hampir dua kali ganda purata tahunan sepanjang dekad lalu, menurut agensi meteorologi negara Indonesia.
Daripada 11,557 gegaran, 297 daripadanya mencatatkan bacaan lebih dari 5 magnitud.
Selain itu, kesan amukan gunung berapi Anak Krakatau di Selat Sunda pada 22 Disember lalu ternyata memberikan perubahan kepada bentuk gunung itu dan kawasan muka bumi di persekitarannya.
Ketua Pusat Data dan Informasi Badan Bencana Nasional Indonesia (BNPB), Sutopo Purwo Nugroho hari ini kongsi gambar satelit terbaharu Gunung Anak Krakatau yang dirakam oleh platform Earth Uncut TV.
Menurut Sutopo Purwo, bentuk asal gunung berapi dilaporkan semakin menghilang selepas peningkatan aktiviti gunung berapi. Gunung itu kini dikelilingi Besi Hidroksida (Fe(OH)3) yang keluar dari kawah dan larut ke dalam air laut.
“Kondisi Gunung Anak Krakatau pada 11/1/2019 yang didokumentasikan oleh @EarthUncutTV. Warna orange kecoklatan adalah hidrosida besi (FeOH3) yang mengandung zat besi tinggi yang keluar dari kawah dan larut ke dalam air laut. Tubuh Gunung Anak Krakatau telah banyak berubah,” tweet beliau.
Pada bulan September lalu, lebih 4,000 orang terbunuh di Sulawesi Tengah selepas gempa bumi dan tsunami melanda pulau itu.
Sebelum malapetaka itu berlaku, beberapa siri gempa bumi turut menggegarkan negara itu, termasuk di destinasi pelancongan popular Pulau Lombok.