Indonesia dan Malaysia pandang serius rampasan kuasa di Myanmar - Jokowi

Fareez Azman
Februari 5, 2021 14:29 MYT
Presiden Indonesia, Joko Widodo berkata Menteri Luar Indonesia dan Malaysia akan mengadakan pertemuan bersama Pengerusi ASEAN berhubung perkembangan di Myanmar. - Gambar fail/REUTERS
KUALA LUMPUR: Indonesia dan Malaysia memandang serius perkembangan terkini di Myanmar selepas penahanan pemimpin Liga Kebangsaan Untuk Demokrasi (NLD) oleh junta tentera negara itu.
Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) berkata Menteri Luar kedua-dua negara akan mengadakan pertemuan bersama Pengerusi ASEAN bagi membincangkan mengenai perkembangan itu.
"Kita juga membahas isu kawasan dan dunia, perkembangan yang terjadi di Myanmar, kita prihatin dengan perkembangan politik di Myanmar dan kita berharap perbedaan politik itu dapat diselesaikan sesuai dengan hukum yang peraku.
"Untuk mewujudkan visi Komuniti ASEAN penting bagi kita semua terus menghormati prinsip Piagam ASEAN, terutama prinsip rule of law, good governance, demokrasi, hak asasi manusia, dan pemerintah yang konsisten.
"Sebagai satu keluarga, kita minta dua Menteri Luar Negeri berbicara dengan Pengerusi ASEAN dan dilakukan pertemuan khusus Menteri Luar Negeri ASEAN mengenai perkembangan Myanmar," katanya dalam sidang media bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Jakarta pada Jumaat.
Sidang media bersama Muhyiddin - Joko Widodo
Jelas Jokowi lagi, isu itu telah dibincangkan bersama Muhyiddin terutamanya mengenai etnik minoriti Rohingya yang menjadi perhatian kedua-dua negara.
Dalam pada itu, Indonesia turut menzahirkan komitmen dalam memperjuangkan produk sawit kedua-dua negara daripada tindakan diskriminasi Kesatuan Eropah (EU).
"Mengenai isu sawit, Indonesia akan terus berjuang melawan diskriminasi terhadap sawit dan perjuangan tersebut akan lebih optima. Jika dilakukan bersama Indonesia mengharapkan komitmen yang sama dengan Malaysia mengenai isu sawit ini," katanya lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, jelas Jokowi turut dibincangkan kedua-dua pemimpin adalah mengenai keamanan kedua-dua negara termasuk perairan Laut China Selatan mengikut Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut 1982 (UNCLSO).
Terdahulu, Perdana Menteri tiba di Jakarta pada Khamis untuk lawatan rasmi dua hari ke Indonesia.
Sambutan negara di Istana Merdeka, Jakarta
#Muhyiddin Yassin #Joko Widodo #China #ASEAN #Myanmar #Indonesia #Perdana Menteri #Jakarta #Kesatuan Eropah #undang-undang #Rohingya #politik #etnik minoriti #menteri #tentera #Malaysia
;