Indonesia dan Apple meterai perjanjian, buka laluan untuk jualan iPhone 16

Bernama
Februari 26, 2025 23:42 MYT
Menteri Perindustrian Indonesia Agus Gumiwang Kartasasmita berkata perjanjian itu satu pencapaian penting selepas melalui tempoh lima bulan rundingan yang mencabar. - Gambar fail
JAKARTA: Kerajaan Indonesia dan Apple Inc pada Rabu menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di Jakarta Selatan bagi merasmikan perjanjian penting dalam kerjasama pelaburan.
Langkah itu membuka laluan untuk Apple menjual iPhone 16 di Indonesia, ketika Kementerian Perindustrian memulakan proses mengeluarkan sijil Tahap Komponen Domestik (TKDN) yang diperlukan.
Menteri Perindustrian Agus Gumiwang Kartasasmita mengesahkan perjanjian itu menandakan satu pencapaian penting selepas lima bulan rundingan yang mencabar.
"Ia disahkan sehingga saat akhir. Hanya 15 minit lepas, kami masih memuktamadkan komunikasi dengan Apple mengenai beberapa perkara untuk dimasukkan ke dalam MoU, serta perkara yang tidak dapat dimasukkan," katanya yang dipetik portal berita Liputan6.
MoU itu menyelesaikan kebuntuan yang berlarutan sekian lama yang menyaksikan kementerian menangguhkan sijil TKDN dan menghalang Apple daripada memperoleh permit pengedaran peranti mereka.
Dengan perjanjian itu kini dilaksanakan, Apple boleh meneruskan rancangan untuk menjual iPhone 16 secara rasmi di republik itu.
Rundingan itu agak rumit berikutan kepentingan yang bercanggah, dengan pasukan teknikal daripada Kementerian Perindustrian dan Apple mengadakan tiga pertemuan bagi membincangkan lanjutan pensijilan TKDN.
Agus Gumiwang menekankan perjanjian itu akan memastikan pasaran domestik Indonesia mendapat manfaat daripada pelaburan Apple.
Awal tahun ini, Naib Presiden Dasar Global Apple Nick Amman mengunjungi kementerian bagi membincangkan rancangan syarikat itu, termasuk pembinaan kilang AirTag di Batam untuk memenuhi keperluan TKDN.
-- BERNAMA
#Indonesia #apple inc #jualan iphone 16 #perjanjian #kerjasama pelaburan
;