Indonesia cipta rekod buka puasa terpanjang di tepi pantai

Sinar Harian
Mac 19, 2024 10:30 MYT
Ribuan umat Islam menghadiri majlis berbuka puasa terpanjang di Pantai Losari, Makassar minggu lalu. - Foto agensi
JAKARTA: Indonesia memahat satu lagi rekod baharu apabila berjaya menganjurkan majlis berbuka puasa terpanjang di negara berkenaan minggu lalu.
Majlis berbuka puasa yang dianjurkan bersama oleh Kedutaan Arab Saudi dan pihak pemerintah Makassar serta Yayasan I-Salam telah diadakan di Pantai Losari, Makassar.
Beribu-ribu umat Islam menghadiri majlis berbuka puasa sepanjang 2.14 kilometer (km) di tepi pantai itu, sekali gus mendapat pengiktirafan daripada Muzium Rekod Indonesia (MURI).
Pihak pentadbiran MURI menyerahkan anugerah kepada pemerintah daerah Makassar kerana berjaya menganjurkan majlis berbuka puasa terpanjang di negara itu.
“Kami dan pihak jawatankuasa telah dimaklumkan penduduk Kota Makassar datang berbaris di taman Pantai Losari sepanjang 2,140 meter (m),” kata Pengurus Perhubungan Pelanggan MURI, Lutfi Syah Pradana.
Pada awalnya, majlis berbuka puasa itu melibatkan jarak 2.5km atau 2,500m. Namun pihak penganjur gagal mencapai sasaran awal yang ditetapkan itu.
Begitupun, barisan ahli jawatankuasa MURI tetap memberikan sijil anugerah kepada pemerintah daerah Makassar apabila jarak 2.14km tetap dianggap rekod berbuka puasa terpanjang di Indonesia.
“Terima kasih kepada kerajaan Arab Saudi dan Datuk Bandar Makassar dan seluruh umat Islam atas pelaksanaan acara ini. Sudah tentu ia membawa kebaikan kepada semua pihak,” ujar Ketua Atase Agama dan Pendidikan Kedutaan Arab Saudi, Syekh Ahmad Al-Hazimi.
Pada tahun lalu, Indonesia telah mencipta rekod 'membentang' meja terpanjang majlis berbuka puasa yang diadakan di Padang, Sumatera Barat dengan dihadiri lebih 8,000 rakyat negara itu. - Sinar Harian memetik agensi
#Ramadan #berbuka puasa #Muzium Rekod Indonesia #Pantai Losari
;