Indonesia cadang perketat syarat kemasukan tenaga kerjanya ke Malaysia
Bernama
Oktober 29, 2015 13:22 MYT
Oktober 29, 2015 13:22 MYT
Kerajaan Indonesia bercadang memperketatkan peraturan kemasukan rakyatnya untuk bekerja di Malaysia bagi memastikan tidak berlaku lambakan Tenaga Kerja Indonesia (TKI) di negara itu.
Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla berkata, antara peraturan yang dicadang oleh kerajaan republik itu adalah tenaga kerja yang akan ke luar negara terlebih dahulu dilatih dan mempunyai kemahiran dalam bidang-bidang tertentu.
Katanya, dengan menjadi pekerja mahir, TKI layak untuk diberikan gaji minimum yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia serta mendapat perlindungan insurans.
"Kita harus ada aturan, (pekerja) harus ada skill (kemahiran) dan mereka harus diberi gaji minimum dan perlindungan insurans," katanya dalam wawancara khas dengan Bernama di pejabatnya di sini, baru-baru ini.
Beliau berkata, sudah tiba masanya kerajaan Malaysia mempertimbangkan penguatkuasaan gaji minimum untuk golongan pekerja domestik kerana golongan itu juga memerlukan pembelaan.
Jusuf berkata, sebelum ini rakyat Indonesia banyak pergi ke Arab Saudi dan Malaysia untuk menjadi pembantu rumah kerana gajinya adalah lima kali ganda jika dibandingkan dengan di Indonesia tetapi sekarang ini gaji pembantu rumah di Indonesia sudah naik sehingga Rp2 juta rupiah (kira-kira RM630).
Katanya, asas kepada permintaan gaji minimum untuk pembantu rumah adalah jika mereka mahu kerja di luar negara, gajinya hendaklah dua atau tiga kali ganda daripada pembantu rumah di Indonesia dan adalah tidak bermakna untuk mereka bekerja di luar jika gajinya lebih rendah daripada bekerja di negara sendiri.
"Dulu mereka pergi Rp500,000, sekarang mereka mahu RM1,000 kerana jika gaji yang dibayar sekarang adalah lebih rendah dari di Indonesia malah di negara ini juga sekarang susah untuk mencari pembantu rumah," katanya.
Beliau berkata, kerajaan Indonesia juga sedang berusaha mengatasi isu kemasukan pekerja tanpa izin dari republik itu ke Malaysia.
Naib Presiden itu juga berkata, kemasukan pekerja tanpa izin sehingga sanggup bergadai nyawa adalah sesuatu yang tidak diingini oleh mana-mana pihak namun rakyat Indonesia sanggup ke Malaysia secara tidak sah kerana terdapat penawaran yang tinggi.
"Pekerja illegal (tanpa izin) kerana dua-dua suka (majikan dan pekerja) dan dua-dua salah ... jadi pekerja Indonesia salah, majikan di Malaysia juga salah dan seharusnya kedua-dua mereka dihukum," katanya.
Jusuf juga mengingatkan rakyat Indonesia yang bekerja di Malaysia supaya menjaga nama baik dan bekerja demi kemajuan bangsa negara itu.
Katanya, peluang mendapat pekerjaan di negara asing adalah sesuatu yang membanggakan dan rakyat Indonesia haruslah memanfaatkannya dengan membina hubungan baik sama ada dari aspek ekonomi, kebudayaan mahupun politik.
"Saya ingin mengucapkan salam tahniah kepada bangsa kita (Indonesia) yang berada di Malaysia dan marilah kita sama-sama bekerja untuk kemajuan bangsa kita ... kerana kita punya sejarah bersaudara yang panjang dan Alhamdullilah, ini dapat kita jalin sebaik-baiknya," katanya lagi.
Perdana Menteri Malaysia yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2016 pada 23 Okt lepas berkata kerajaan menggariskan gaji minimum untuk pekerja sektor swasta di Semenanjung dinaikkan mulai tahun depan daripada RM900 kepada RM1,000 sebulan.
Bagi pekerja di Sabah dan Sarawak pula gaji minimum dinaikkan daripada RM800 kepada RM920 sebulan.
Bagaimanapun gaji minimum itu tidak terpakai kepada pekerja domestik dan pembantu rumah.