Indonesia bincang tindakan segera banteras jenayah pemerdagangan manusia
Bernama
Mei 30, 2023 00:54 MYT
Mei 30, 2023 00:54 MYT
JAKARTA: Presiden Joko Widodo menggesa penguatkuasa undang-undang dan agensi berkaitan supaya mengambil tindakan segera mencegah dan memberantas jenayah pemerdagangan manusia.
Perkara itu ditegaskan beliau semasa mempengerusikan mesyuarat pencegahan jenayah pemerdagangan manusia di Istana Merdeka hari ini.
Menurut Menteri Koordinator Bidang Politik, Hukum dan Keamanan Mahfud MD selepas mesyuarat, Joko Widodo mahu pasukan petugas sedia ada disusun semula.
"Langkah segera dalam sebulan ini mencerminkan kesungguhan pemerintah, polis, tentera dan agensi lain bertindak cepat menangani jenayah ini," katanya.
Badan Nasional Penempatan dan Perlindungan Tenaga Kerja Indonesia (BP2MI) merekodkan 1,900 mangsa meninggal dunia dan 55 mayat dihantar pulang ke provinsi Nusa Tenggara Timur dari Januari sehingga kini akibat jenayah itu.
Mahfud berkata Indonesia sebagai Pengerusi ASEAN 2023 telah diminta negara serantau untuk lebih proaktif menangani jenayah itu, khususnya di rantau ASEAN.
Jenayah transnasional yang dilakukan dengan sangat teliti ini telah mengganggu kehidupan di negara mereka, manakala usaha memberantas sering tertangguh kerana isu birokrasi.
Justeru, Joko Widodo mahu penjenayah tidak dilindungi dan mengarahkan Ketua Polis Negara mengambil tindakan tegas, katanya.
Ketua BP2MI Benny Rhamdani menjangkakan terdapat 4.3 juta pekerja tanpa izin Indonesia di luar negara yang disyaki diuruskan sindiket.
Data Bank Dunia pada 2017 menunjukkan sembilan juta rakyat Indonesia bekerja di luar negara tetapi jumlah yang dicatat BP2MI hanya 4.7 juta.
Pihaknya juga telah menangani 94,000 pekerja yang diusir dari negara-negara Asia Barat dan Asia sejak 2020, dengan 90 peratus daripada mereka disyaki turut diurus sindiket.
-- BERNAMA