Indonesia bebaskan lima rakyat Australia ahli pengedar dadah ‘Bali Nine’
Agensi
Disember 15, 2024 07:30 MYT
Disember 15, 2024 07:30 MYT
SYDNEY: Lima rakyat Australia terakhir daripada kumpulan terkenal penyeludup heroin, “Bali Nine”, telah pulang ke tanah air selepas Canberra mencapai perjanjian dengan Indonesia untuk menamatkan hukuman penjara selama dua dekad di luar negara.
“Saya berbesar hati untuk mengesahkan bahawa rakyat Australia, Si Yi Chen, Michael Czugaj, Matthew Norman, Scott Rush, dan Martin Stephens telah kembali ke Australia petang ini,” tulis Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, di X pada hari Ahad.
Kelima-lima individu yang menjalani hukuman penjara seumur hidup itu merupakan sebahagian daripada kumpulan sembilan orang yang ditangkap ketika cuba menyeludup lebih daripada 8 kilogram (17.6 paun) heroin dari lapangan terbang antarabangsa Bali ke Australia pada tahun 2005.
Kesemua mereka kembali ke Australia selepas menjalani 19 tahun penjara di Indonesia.
Kes itu sebelum ini mendapat perhatian dunia apabila dua pemimpin kumpulan tersebut, Andrew Chan dan Myuran Sukumaran, dihukum mati oleh skuad penembak pada 2015, meskipun ada rayuan berulang dari kerajaan Australia.
Anggota lain, Tan Duc Thanh Nguyen, meninggal dunia akibat kanser pada 2018, manakala Renae Lawrence dibebaskan selepas hukumannya dikurangkan.
Kerajaan Australia menyatakan penghargaan atas kerjasama Indonesia membenarkan kepulangan lima lelaki tersebut atas dasar kemanusiaan.
Bagaimanapun, tiada butiran lanjut mengenai perjanjian tersebut, sama ada mereka perlu meneruskan hukuman di Australia.
Bulan lalu, Albanese membangkitkan kes lelaki-lelaki tersebut kepada Presiden baru Indonesia, Prabowo Subianto, di luar sidang kemuncak APEC di Peru, menurut laporan Reuters.
Menteri Undang-Undang Indonesia mengesahkan pada waktu itu bahawa pihaknya telah bersetuju untuk memulangkan baki tahanan tersebut, lapor agensi itu.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada Presiden Prabowo Subianto atas belas kasihan beliau," kata Albanese lagi.
Kes "Bali Nine" menunjukkan ketegasan undang-undang dadah di Indonesia, termasuk hukuman mati bagi kesalahan penyeludupan.
Tindakan tegas ini menjadikan Bali terkenal sebagai lokasi yang mana warga asing sering ditahan atas kesalahan jenayah dadah.
Terdapat desas-desus dalam beberapa minggu kebelakangan ini mengenai kemungkinan kepulangan ahli 'Bali Nine' ke Australia.
Spekulasi berlaku selepas seorang pegawai kanan dari Indonesia mengumumkan bahawa terdapat rancangan untuk memulangkan tahanan dari beberapa negara, termasuk Australia, Perancis, dan Filipina, sebelum tahun ini berakhir.
Perjanjian serupa juga melibatkan Mary Jane Veloso dari Filipina, yang dihukum penjara kerana membawa beg pakaian berisi 2.6 kilogram heroin tetapi mendakwa dirinya diperdaya oleh sindiket dadah antarabangsa. - Agensi