Indonesia bakal sahkan kedudukan sebagai kuasa baharu dunia?

Shafizan Johari
Jun 30, 2022 15:40 MYT
Joko Widodo berjabat tangan dengan Canselor Jerman, Olaf Scholz, dalam upacara sambutan di Hotel Schloss Elmau, Bayern, Jerman. - Reuters
TINGGI di atas salah satu gunung dalam Banjaran Alps, tegap berdiri sebuah istana lama yang dibina oleh seorang ahli falsafah pada 1914.
Istana ini pernah beberapa kali bertukar fungsi, daripada sebuah kediaman mewah, kepada kem mangsa Perang Dunia Kedua dan sekarang merupakan sebuah hotel dengan lebih 115 bilik. Inilah Hotel Schloss Elmau yang terletak dalam wilayah Bavaria di selatan Jerman, merupakan antara hotel paling mewah dan eksklusif yang ditawarkan di negara Eropah itu.
Selalunya, cuaca baik musim panas seperti ini akan dimanfaatkan sepenuhnya warga kota yang mahu bercuti bersama keluarga di kawasan ini yang dianggap antara yang paling indah di sepanjang banjaran Alp. Malah lokasinya yang hanya terletak sekitar kurang dua jam perjalanan dari Munich menjadikannya sebagai lokasi strategik bagi keluarga dari golongan atasan untuk berlibur dan tenangkan fikiran.
Seperti yang boleh dijangkakan, resort mewah seperti ini pastinya membuatkan pelawatnya tidak bosan. Jika lapar, boleh sahaja singgah ke satu daripada sembilan restoran yang ditawarkan, dengan dua daripadanya mempunyai penarafan Michelin. Sudah kenyang, boleh terus ke kedai buku atau barisan kedai-kedai lain, yang sedia menerima gesekan kad pembayaran.
Tidak cukup dengan itu, hotel ini juga menempatkan sebuah dewan konsert yang menjadi tuan rumah kepada lebih 200 persembahan setahun, lantas menjadikan lokasi ini sebagai venue konsert paling sibuk di Jerman.
Tetapi, pasti bukan konsert yang dicari Joko Widodo, Presiden ketujuh Republik Indonesia hadir ke sini atas undangan Canselor Jerman bagi menghadiri Persidangan G7.
Minggu ini, hotel mewah ini ditutup buat tetamu yang lain kerana ia menjadi venue kepada Persidangan Kumpulan Negara G7, perkumpulan tujuh negara paling industri di dunia, dan Indonesia dijemput.
Untuk rekod, Indonesia bukan negara anggota G7, tetapi mempunyai kredibiliti sebagai Presiden Kumpulan Negara G20, yang dianggotai 20 ekonomi paling besar dunia. Malaysia tidak menganggotai kedua-dua kumpulan berkenaan.
Melangkah masuk ke bilik persidangan utama, Jokowi langsung tidak nampak janggal apabila menjadi satu-satunya warga Nusantara dan orang Islam dalam bilik yang menempatkan tujuh pemimpin paling penting dunia.
Jokowi kini dalam rangka misi yang lebih genting. Selepas selesai mesyuarat di hotel ini, dia harus bergegas ke Ukraine dan kemudian Rusia dalam usaha menjadi orang tengah bagi menggerakkan perdamaian di wilayah itu.
“Kenapa harus bapak Presiden Indonesia yang negaranya berada jutaan kilometer dari Rusia mahupun Ukraine ataupun benua Eropah mahu libatkan diri dalam perang ini?” tanya saya dalam hati.
Jelas justifikasi yang diberi menerusi kenyataan Istana Presiden, mengerakkan usaha damai ini penting buat Indonesia, kerana hanya dengan berakhirnya perang ini, maka krisis inflasi makanan boleh diselesaikan.
Ternyata, justifikasi ini legit, kita semua merasa tempias dasyat krisis bersenjata dua negara bersaudara itu. Malaysia tidak terkecuali, malah data Jabatan Perangkaan menunjukkan inflasi makanan di Malaysia pada bulan Mei sudah cecah lebih 5 peratus.
Persoalan sama ada Presiden Vladimir Putin akan menjadi lembut hati apabila usai bertemu secara empat mata dengan jejaka Jawa ini, itu menjadi hal lain. Setidak-tidaknya dia mencuba.
Tetapi usaha mencuba inilah yang harus dibuktikan Jokowi. Sebagai Presiden G20, Jokowi kini tersepit antara dua kuasa dunia. Gagal percaturan, Persidangan G20 yang dijadual berlangsung di Bali, pada November nanti mungkin gagal.
Kuasa barat mengancam memboikot persidangan berkenaan jika Rusia dijemput. Pada sisi lain, Rusia adalah salah satu anggotanya. Jika Moscow tidak dijemput, ia mungkin membawa natijah yang lain pula.
Ditelan mati emak, diluah mati bapa. Jokowi kini meniti titian sempit. Lebih mencabar, dia berseorangan dalam hal ini. Hanya sokongan yang dizahirkan dan doa yang dititipkan warga Indonesia mengiringi setiap langkahnya ke Ukraine dan Rusia.
Langkah Jokowi yang mungkin boleh dipersoal keberkesanannya ini, setidak-tidaknya menzahirkan iltizam Jokowi dan Indonesia bahawa ia sebagai kuasa yang bebas. Langkahnya tidak perlu dirujuk oleh kuasa dunia yang lain, bukan Amerika Syarikat atau China. Tiada “abang” atau “adik” yang perlu dirunding sebelum melakukan apa-apa tindakan. Indonesia, sebagai kuasa dunia mahu buktikan bahawa ia boleh mandiri. Setidak-tidaknya inilah mesej yang cuba dipancarkan Jokowi kepada rakyatnya dan dunia.
Walaupun keras kepala Putin belum tentu boleh dilembutkan, nyata langkah Jokowi ke Eropah mendekatkan Indonesia sebagai negara yang berperanan besar di pentas dunia.
Bayangkan sekiranya Malaysia, sebuah negara kecil di dalam peta dunia yang pernah menempa nama sebagai orang tengah pelbagai krisis, bersama-sama memainkan peranannya mendamaikan dua pihak yang berseteru, bukankah lebih kuat dan lebih efektif usaha murni ini?

* Shafizan Johari ialah Editor Utama (Lead Editor) dan Editor Perancangan Hadapan Astro AWANI.
* Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#Indonesia #Joko Widodo #kuasa dunia
;