Indonesia anjur latihan ketenteraan Super Garuda Shield, Malaysia sebagai negara pemerhati

Bernama
Ogos 23, 2024 13:40 MYT
Anggota tentera Australia tiba di Pangkalan Udara Tentera Laut Indonesia Juanda di Surabaya, dengan menaiki pesawat Tentera Udara Diraja Australia, pada Khamis. - Foto PUSPEN TNI
JAKARTA: Ratusan anggota tentera dari pelbagai negara dijangka berkumpul di Indonesia untuk latihan ketenteraan bersama multinasional Super Garuda Shield 2024, pada 26 Ogos hingga 6 September di beberapa lokasi di seluruh negara.
Selain Indonesia sebagai tuan rumah, negara-negara yang turut mengambil bahagian dalam latihan ini termasuk Amerika Syarikat (AS), Australia, Kanada, Perancis, Jepun, Singapura, Korea Selatan, United Kingdom, dan New Zealand.
Malaysia akan bertindak sebagai negara pemerhati bersama-sama dengan Brazil, Brunei, Fiji, Jerman, India, Belanda, Papua New Guinea, Filipina, Arab Saudi, Thailand dan Vanuatu.
Pusat Maklumat Angkatan Bersenjata Nasional Indonesia dalam satu kenyataan pada Jumaat memaklumkan bahawa anggota tentera Australia tiba di Pangkalan Udara Tentera Laut Indonesia Juanda di Surabaya, pada Khamis dengan menaiki pesawat Tentera Udara Diraja Australia (RAAF).
Sementara itu, ratusan anggota Tentera Darat dan Kor Marin AS mendarat di pangkalan udara yang sama sehari sebelumnya, setelah berlepas dari Hawaii melalui penerbangan komersial Omni Air.
"Super Garuda Shield terus memperkukuh Perjanjian Kerjasama Pertahanan antara AS dan Indonesia serta meningkatkan kerjasama dalam menyokong wilayah Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka," menurut Kedutaan AS di Jakarta dalam satu kenyataan berasingan.
Latihan tahun ini akan memperkenalkan komponen Latihan Siber baharu di Surabaya bagi menangani ancaman siber yang semakin meningkat serta kemunculan pertama helikopter ikonik US Chinook CH-47 di Indonesia.
Latihan itu akan berakhir dengan latihan lapangan gabungan termasuk operasi udara yang diselaraskan dengan tentera dari AS, Indonesia dan Jepun akan melakukan aksi payung terjun bersama.
-- BERNAMA
#Super Garuda Shield 2024 #tentera Indonesia #Amerika Syarikat #Australia
;