Indonesia anggota baharu Majlis Keselamatan

Reuters
Jun 9, 2018 09:38 MYT
Delegasi Indonesia memberi reaksi selepas pengumuman pelantikan negara itu sebagai ahli tidak tetap Majlis Keselamatan dibuat. - Foto AP/Mary Altaffer
Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat memilih untuk melantik Jerman, Belgium, Afrika Selatan, Republik Dominica dan Indonesia sebagai ahli tidak tetap Majlis Keselamatan untuk penggal dua tahun bermula 1 Januari 2019.
Majlis tersebut merupakan satu-satunya badan PBB yang boleh kenakan sekatan dan memberi kebenaran mengguna kekerasan.
Indonesia menang satu-satunya kerusi Asia-Pasifik yang dipertandingkan dengan menewaskan Maldives dengan undian 144-46.
Empat negara anggota lain bertanding tanpa bantahan daripada 193 anggota badan itu.
Jerman dan Republik Dominika masing-masing mendapat 184 undi, Afrika Selatan mendapat 183 undi manakala Belgium meraih 181 undi.
Majlis Keselamatan PBB mempunyai 15 keahlian termasuk lima ahli tetap iaitu Britain, China, Perancis, Russia dan Amerika Syarikat (AS) selain 10 ahli tidak tetap yang mana separuh daripadanya dipilih setiap tahun.
Setiap calon negara ahli perlu meraih dua per tiga undi untuk mendapat kerusi dalam majlis itu.
#Asia-Pasifik #Indonesia #Majlis Keselamatan #PBB #perhimpunan agung #Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu
;