Indonesia akan kenakan tarif import sehingga 200 peratus barangan China

Bernama
Jun 29, 2024 18:30 MYT
Dasar itu akan berkuat kuasa sebaik peraturan berkaitan dikeluarkan dan tarif untuk produk buatan China adalah antara 100 hingga 200 peratus. - Gambar hiasan
BANDUNG (Jawa Barat): Indonesia akan mengenakan tarif import sehingga 200 peratus ke atas barangan China bagi mengurangkan kesan perang perdagangan antara China dan Amerika Syarikat, lapor ANTARA.
Menteri Perdagangan Indonesia Zulkifli Hasan pada Jumaat berkata dasar itu akan berkuat kuasa sebaik peraturan berkaitan dikeluarkan dan tarif untuk produk buatan China adalah antara 100 hingga 200 peratus.
"Amerika Syarikat boleh mengenakan tarif 200 peratus ke atas seramik atau pakaian yang diimport; kita boleh melakukannya juga untuk memastikan PKS dan industri kita akan terus hidup dan berkembang maju," katanya.
Peraturan baharu sedang digubal untuk menangani kebimbangan pihak-pihak berkepentingan mengenai melindungi industri tempatan daripada saingan kemasukan produk import.
Peraturan Menteri Perdagangan No. 37 Tahun 2023 yang pertama daripada peraturan itu, mewujudkan kawalan import melalui mekanisme pasca sempadan dan pemeriksaan produk import.
"Peraturan No. 37 mampu menyekat dan mengawal import," tegas Hasan.
-- BERNAMA
#Indonesia #barang China #tarif import #200 peratus
;