Individu tidak dikenali rentas sempadan timur menuju Korea Utara - Seoul
Bernama
Januari 2, 2022 16:48 MYT
Januari 2, 2022 16:48 MYT
SEOUL: Tentera Korea Selatan pada Ahad berkata individu tidak dikenali menyeberangi sempadan timur antara Korea Selatan dan Korea Utara pada malam Sabtu walaupun terdapat usaha bagi menghalang tindakan itu.
Individu itu dikesan bergerak ke Utara merentasi Garisan Persempadanan Tentera pada 10.40 malam, kira-kira 80 minit selepas dikesan oleh peralatan pengawasan yang dipasang di kubu sempadan yang dikawal ketat, menurut Ketua-ketua Turus Bersama (JCS), lapor agensi berita Yonhap.
JCS masih belum mengenal pasti individu itu dengan siasatan masih dijalankan, menurut pegawainya.
Selepas mengesan individu berkenaan di Zon Bebas Tentera (DMZ) pada kira-kira 9.20 malam, pihak tentera menghantar pasukannya ke tempat kejadian bagi menangkapnya tetapi gagal, menurut JCS.
Dalam usaha menangkapnya, pihak berkuasa menggunakan peralatan pemantauan untuk mengesan individu berkenaan yang melintasi pagar dawai berduri sebelum memasuki DMZ kira-kira jam 6.40 petang -- dengan kejadian itu gagal disedari pihak tentera selama beberapa jam.
"Kami melancarkan operasi menangkap individu berkenaan di DMZ, tetapi disebabkan faktor geografi, termasuk pergunungan, kami gagal berbuat demikian," kata seorang pegawai JCS kepada pemberita dengan syarat tidak mahu namanya didedahkan.
Pada Ahad, pihak berkuasa Korea Selatan menghantar mesej kepada Korea Utara berhubung insiden itu melalui talian komunikasi tentera Barat, kata pegawai itu.
Nasib individu itu belum dapat dipastikan berikutan laporan Korea Utara mempunyai dasar "tembak mati" sebagai sebahagian daripada langkah kawalan sempadan yang lebih ketat terhadap COVID-19.
Insiden terbaharu itu berlaku walaupun tentera Korea Selatan berjanji untuk merombak sistem pertahanan sempadan dengan peralatan pengawasan yang lebih cekap untuk mengelakkan sebarang pencerobohan sempadan seperti sebelum ini.
Pada Februari 2020, seorang lelaki Korea Utara berenang ke Korea Selatan tanpa diketahui pihak berkuasa, menyebabkan Menteri Pertahanan Suh Wook menzahirkan permohonan maaf secara terbuka. Begitu juga pada November 2020, seorang lagi rakyat Korea Utara menyeberangi sempadan.
-- BERNAMA