Individu pertama sembuh dari HIV, meninggal dunia apabila barah datang kembali
Reuters
September 30, 2020 19:53 MYT
September 30, 2020 19:53 MYT
CALIFORNIA: Timothy Ray Brown, individu pertama yang diketahui berjaya sembuh dari HIV selepas menjalani pemindahan sumsum tulang, telah meninggal dunia di California, pada Selasa.
"Dengan rasa sedih saya ingin memaklumkan Timothy telah meninggal dunia petang ini (Selasa) dikelilingi keluarga dan rakan-rakan, selepas lima bulan bertarung dengan leukemia," kata pasangannya dalam satu entri di Facebook.
Brown, lahir pada 11 Mac 1966, dikenali sebagai "Pesakit Berlin" apabila berjaya sembuh dari HIV selepas menjalani rawatan di sana pada tahun 2007.
Kisah Brown memberi inspirasi kepada doktor serta pesakit yang dijangkiti virus tersebut yang merupakan penyebab AIDS, memberikan harapan bahawa suatu hari nanti akan ada penawar yang dapat mengakhiri derita pesakit AIDS.
"Kami terhutang budi kepada Timothy dan doktornya, Gero Huetter. Kami sangat berterima kasih kerana membuka pintu bagi para saintis untuk meneroka kemungkinan bahawa penawar HIV adalah tidak mustahil," kata Presiden Persatuan AIDS Antarabangsa, Adeeba Kamarulzaman, yang juga seorang profesor perubatan dan pakar penyakit berjangkit di Universiti Malaya.
Brown didiagnosis menghidap HIV pada tahun 1995 semasa tinggal di Berlin, sebelum didiagnosis menghidap sejenis barah darah yang dikenali sebagai leukemia myeloid akut pada 2006.
Walaupun Brown bebas dari HIV selama lebih sedekad, leukemia yang dihidapi kembali pada tahun lalu.
Barah darah itu merebak ke tulang belakang dan otaknya, dan dia baru-baru ini menjalani rawatan di tempat asalnya di Palm Springs, California.
Menurut Huetter, doktor yang merawatnya pada tahun 2007, rawatan yang dijalani dahulu melibatkan pemusnahan sistem imun Brown dan pemindahan sel induk dengan mutasi gen, disebut CCR5, yang menentang HIV.
Lebih daripada 37 juta pesakit di seluruh dunia dijangkiti HIV, dan AIDS telah membunuh sekitar 35 juta orang sejak ia bermula pada tahun 1980an.