Individu pertama dijangkiti COVID-19 masih misteri

Agensi
Mac 27, 2020 18:31 MYT
Wanita di Wuhan terbabit bagaimanapun terus bekerja meskipun tidak sihat kerana menganggap ia sakit biasa.
Satu dokumen kesihatan yang bocor kepada media mendedahkan seorang wanita yang bekerja sebagai penjual udang di pasar makanan laut di Wuhan, wilayah Hubei, lokasi penularan wabak COVID-19 adalah antara individu pertama yang dikesan dijangkiti virus itu.
NZ Herald yang memetik The Wall Street Journal melaporkan, Wei Guixian yang berusia 57 tahun itu dikatakan mengalami gejala awal sejak 10 Disember lalu sebelum dia mendapat rawatan di sebuah klinik berhampiran.
Menurut laporan itu, wanita terbabit bagaimanapun terus bekerja meskipun tidak sihat kerana menganggap ia sakit biasa.
"Setiap kali musim sejuk, saya selalu mengalami selesema dan badan kurang sihat, jadi saya fikir ini sakit biasa," katanya kepada akhbar tempatan, The Paper.
Lapan hari kemudian, dia mengambil keputusan untuk pergi ke Hospital The Eleventh, Wuhan bagi mendapatkan pandangan kedua apabila keadaan kesihatannya tidak berubah.
Namun katanya, doktor di hospital tersebut tidak dapat mendiagnosis penyakitnya itu. Apabila ubat yang diberikan doktor itu tidak memberi sebarang kesan, wanita itu kembali ke hospital yang sama untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.
Akhirnya pada 16 Disember lalu, Wei mengambil keputusan untuk merujuk ke Hospital Besar Union Wuhan bagi mendapatkan pemeriksaan lebih terperinci dan doktor yang merawatnya di situ menyifatkan jangkitannya itu sebagai 'kejam'.
Malah doktor itu juga memaklumkannya beberapa orang dari Huanan yang juga mempunyai simptom yang sama telah merujuk hospital berkenaan.
Wanita itu kemudian diminta untuk mengkuarantinkan diri selepas doktor berkenaan mendapati jangkitan itu ada persamaan yang ketara antara masalah pernafasan dan pasar makanan laut.
Menurut kenyataan Suruhanjaya Kesihatan Majlis Perbandaran Wuhan sebelum ini, Wei itu adalah antara 27 individu yang disahkan positif COVID-19 dan mempunyai rangkaian terus kepada pasar Huanan.
Bagaimanapun wanita itu dibenarkan keluar dari hospital pada awal Januari ini dan yakin virus itu barangkali terjangkit ketika dia berkongsi tandas dengan penjual haiwan liar di pasar berkenaan.
Kerajaan China tidak mendedahkan berita mengenai penyebaran virus itu sehingga jangkitan itu menjadi serius pada awal Januari.
Wei percaya, sekiranya kerajaan bertindak lebih awal, kemungkinan besar angka kematian dapat dikurangkan di negara itu.
Menurut laporan South China Morning Post, kerajaan China telah mengesan 266 orang yang dijangkiti virus itu pada tahun lalu dan kesemua mereka dilaporkan mendapatkan rawatan kesihatan.
Bagaimanapun individu pertama yang dijangkiti virus itu masih menjadi misteri sehingga hari ini.
Ahli sains yakin, dengan menjejak kumpulan pertama dijangkiti virus ini dapat membantu mereka untuk mengenal pasti sumber pembawa virus itu, meskipun ada teori yang mengatakan virus itu bermula daripada kelawar kepada manusia.
#bocor #China #COVID19 #Hospital #kerajaan #Wall Street Journal
;