Individu bersenjata serang sekolah menengah di Philadelphia, remaja maut, 3 cedera

Bernama
September 28, 2022 12:38 MYT
Insiden berlaku sekitar pukul 4.30 petang waktu tempatan di luar perkarangan Sekolah Tinggi Roxborough, selepas perlawanan bola sepak berakhir. - Foto AP
WASHINGTON: Seorang remaja terbunuh manakala tiga lagi cedera selepas lelaki bersenjata menyerang mereka di luar perkarangan sekolah di Philadelphia, Pennsylvania, Amerika Syarikat, petang Selasa.
Insiden berlaku sekitar pukul 4.30 petang waktu tempatan di luar perkarangan Sekolah Tinggi Roxborough, selepas perlawanan bola sepak berakhir, lapor Xinhua.
Polis berkata, para pemain sedang menuju keluar dari padang apabila sebuah kenderaan berhenti di hadapan mereka.
Dua remaja berusia 14 tahun, seorang mangsa berusia 17 tahun, dan seorang lagi cedera akibat ditembak, menurut maklumat awal pihak berkuasa.
Kesemua mangsa telah dibawa ke hospital.
Sementara itu, seorang daripada mangsa berusia 14 tahun, disahkan meninggal dunia kemudian.
Tiada tangkapan dibuat setakat ini.
Hampir 33,000 orang, termasuk lebih 1,200 kanak-kanak dan remaja, dilaporkan meninggal dunia di Amerika Syarikat akibat keganasan senjata api setakat tahun ini, menurut Arkib Keganasan Senjata.
-- BERNAMA
#tembakan #remaja terbunuh #Philadelphia #Amerika Syarikat
;