Individu berdarah A lebih mudah dijangkiti COVID-19? - Kajian

Agensi
Mac 18, 2020 12:07 MYT
Hasil kajian juga mendapati 206 pesakit meninggal dunia akibat virus itu, di mana 85 pesakit atau 63 peratus adalah daripada kumpulan berdarah A berbanding berdarah O. - Gambar - UNSPLASH
SATU kajian awal membabitkan pesakit di China yang dijangkiti pandemik COVID-19 mendapati individu yang mempunyai darah jenis A dipercayai lebih mudah terdedah kepada wabak tersebut, berbanding mereka yang berdarah O.
Penyelidik perubatan di China mengambil sampel kumpulan darah melibatkan lebih 2,000 pesakit yang dijangkiti wabak tersebut di Wuhan dan Shenzhen, sebelum membandingkan dengan penduduk yang sihat.
Memetik kajian yang disiarkan Medrxiv.org pada 11 Mac lalu, hasil kajian tersebut mendakwa pesakit yang berdarah A menunjukkan kadar jangkitan yang lebih tinggi dan cenderung untuk mengalami gejala yang lebih teruk.
Hasil kajian itu juga mendapati 206 pesakit meninggal dunia akibat virus itu, di mana 85 pesakit atau 63 peratus adalah daripada kumpulan berdarah A berbanding berdarah O.
Bagaimanapun, menurut penyelidik yang berasal dari Tianjin dan tidak terbabit dengan kajian tersebut, Gao Yingdai, lebih banyak sampel darah perlu diambil bagi membantu pakar perubatan.
"Sekiranya anda dari kumpulan darah A, tidak perlu panik. Ia tidak bermaksud anda akan dijangkiti 100 peratus.
"Ia tidak bermakna individu berdarah O juga selamat, anda masih perlu mencuci tangan dan mengikuti garis panduan yang dikeluarkan pihak berkuasa," katanya memetik laporan South China Morning Post.
Setakat ini, lebih 198,000 kes positif COVID-19 direkodkan di seluruh dunia, dengan lebih 7,900 kematian dicatatkan.
#China #COVID-19 #darah A #darah O #koronavirus
;