Individu berdarah A cenderung alami gejala lebih teruk - Kajian
Agensi
Jun 18, 2020 11:25 MYT
Jun 18, 2020 11:25 MYT
KETIKA banyak penyelidikan dibuat terhadap faktor-faktor seperti usia dan jantina yang membawa kepada perbezaan tahap jangkitan COVID-19, para saintis juga melihat kebarangkalian pada gen sebagai salah satu faktor berkait.
Menerusi satu kajian yang dijalankan terhadap gen ribuan pesakit di Eropah, analisis genetik pesakit COVID-19 menunjukkan bahawa jenis darah dapat mempengaruhi sama ada seseorang mengalami gejala yang lebih teruk.
Para saintis mendakwa individu yang berdarah A lebih cenderung untuk mengalami gejala yang lebih teruk berbanding pesakit berdarah O.
Laporan dikeluarkan New England Journal of Medicine itu, bagaimanapun, tidak membuktikan kaitan jenis darah itu dengan gejala wabak COVID-19.
Namun, ia mengesahkan kajian awal dari China mengenai kajian berkaitan yang mendapati individu yang mempunyai darah jenis A dipercayai lebih mudah terdedah kepada wabak tersebut
Hasil kajian China itu turut disokong pakar darah di Medical College of Wisconsin, Dr Parameswar Hari.
“Sebilangan besar dari kita menolaknya kerana ini adalah kajian yang sangat kasar.
“Dengan penemuan baharu ini, sekarang saya mempercayainya dan ini mungkin memberi satu gambaran bahawa ia amat penting," katanya memetik laporan AP.
Jelas Hari, kajian yang dijalankan terhadap koronavirus Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) juga mendapati golongan berdarah O kurang cenderung untuk mengalami gejala yang lebih teruk.
#China
#COVID-19
#darah A
#darah O
#England
#Kajian
#koronavirus
#New England Journal of Medicine
#Parameswar Hari
#SARS