India usir diplomat Kanada sebagai reaksi langkah serupa diambil Ottawa
Bernama
September 19, 2023 21:01 MYT
September 19, 2023 21:01 MYT
NEW DELHI: India telah memutuskan untuk mengusir seorang diplomat kanan Kanada, meminta perwakilan asing itu meninggalkan negara ini dalam tempoh lima hari, sebagai respons terhadap tindakan serupa yang diambil oleh Ottawa, lapor Sputnik, memetik Kementerian Luar India pada Selasa.
"Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke India telah dipanggil hari ini dan dimaklumkan mengenai keputusan Kerajaan India untuk memecat seorang diplomat kanan Kanada yang berpangkalan di India.
"Diplomat berkenaan telah diminta meninggalkan India dalam tempoh lima hari akan datang," menurut kementerian itu dalam satu kenyataan yang disiarkan di X, sebelum ini dikenali sebagai Twitter.
Tindakan itu mencerminkan "kebimbangan kerajaan India yang semakin meningkat terhadap campur tangan diplomat Kanada dalam urusan dalaman kami (India) dan penglibatan mereka dalam aktiviti anti-India," tambah kenyataan itu.
Pada Isnin, Menteri Luar Kanada Melanie Joly berkata Ottawa mengusir seorang diplomat India setelah kaitan ditemui antara kerajaan India dan pembunuhan warga Kanada Hardeep Singh Nijjar, seorang pemimpin nasionalis Sikh terkemuka yang tinggal di wilayah British Columbia yang juga seorang penyokong negara Khalistan merdeka, awal tahun ini.
Diplomat yang diusir itu mengetuai operasi agensi perisikan India di Kanada.
--BERNAMA-SPUTNIK