India tunda pameran pertahanan mega berikutan masalah logistik

Bernama
Mac 5, 2022 06:20 MYT
DefExpo 2022 dirancang diadakan di Gandhinagar, Gujarat dari 10 Mac hingga 14 Mac, 2022. - Foto Facebook DefExpo India
NEW DELHI: India menangguhkan pameran pertahanan antarabangsa mega bulan ini berikutan isu logistik yang dihadapi peserta.
"Disebabkan masalah logistik yang dihadapi oleh peserta, DefExpo 2022 yang dirancang diadakan di Gandhinagar, Gujarat dari 10 Mac hingga 14 Mac ditangguhkan.
"Tarikh baharu akan dimaklumkan dalam masa terdekat," kata Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Tiada perincian lanjut diberikan.
Acara penting pameran melibatkan peserta dari Rusia dan negara Afrika dijadualkan seperti maklumat di laman web rasmi. Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan pada Februari, 930 peserta pameran telah mendaftar untuk acara itu dan jumlah mereka dijangka mencecah 1,000.
Tahap penyertaan adalah setanding dengan acara dwitahunan edisi sebelumnya di Lucknow di negeri Uttar Pradesh pada 2020.
Pertunjukan yang ditangguhkan itu akan dianjurkan dalam kedua-dua mod fizikal dan maya untuk memastikan penyertaan yang lebih besar di tengah-tengah pandemik COVID-19.
-- BERNAMA
#DefExpo 2022 #pameran pertahanan antarabangsa #India #masalah logistik
;