India tubuh jawatankuasa pantau situasi di Bangladesh

Bernama
Ogos 9, 2024 13:48 MYT
Kerajaan PM Narendra Modi (kanan) telah menubuhkan jawatankuasa untuk memantau keadaan terkini di Sempadan Indo-Bangladesh, manakala Sheikh Hasina sehingga kini dipercayai masih 'berlindung' di India. - Reuters
NEW DELHI: India yang kini menjadi tuan rumah kepada bekas Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina, membentuk jawatankuasa keselamatan untuk memantau situasi di negara berkenaan.
"Dalam menghadapi situasi semasa di Bangladesh, kerajaan (Perdana Menteri Narendra) Modi telah menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk memantau keadaan terkini di Sempadan Indo-Bangladesh (IBB).
Jawatankuasa ini akan mengekalkan saluran komunikasi dengan pihak berkuasa di Bangladesh bagi memastikan keselamatan warganegara India, penganut Hindu, dan komuniti minoriti lain yang tinggal di sana," kata Menteri Dalam Negeri India, Amit Shah.
Jawatankuasa itu akan diketuai oleh seorang komander kanan daripada Pasukan Keselamatan Sempadan (BSF) Kawasan Keselamatan Timur.
Hasina meletak jawatan selepas gerakan massa yang dipimpin pelajar, yang pada mulanya bermula sebagai protes terhadap sistem kuota pekerjaan kerajaan tetapi kemudiannya berubah menjadi kebangkitan menentang Kerajaan Liga Awami pimpinannya.
Hasina melarikan diri ke India pada 5 Ogos dan masih belum jelas sama ada beliau akan terus tinggal di India, sebuah negara yang mempunyai hubungan rapat dengannya atau pergi ke negara ketiga.
"Dengan notis yang sangat singkat, beliau meminta kebenaran untuk datang ke India buat sementara waktu," kata Menteri Luar India, Subrahmanyam Jaishankar, dalam satu kenyataan pada Selasa (6 Ogos).
-- BERNAMA
#Sheikh Hasina #India #Narendra Modi #Bangladesh #jawatankuasa pemantau