India tolak keputusan Tribunal Hague babitkan pertikaian dengan Pakistan

Bernama
Julai 7, 2023 04:10 MYT
Tribunal The Hague pada Khamis menolak bantahan India terhadap kes yang dikemukakan oleh Pakistan. - Gambar fail www.icty.org
NEW DELHI: India menolak keputusan timbang tara antarabangsa membabitkan pertikaian air sungai dengan Pakistan.
Kerajaan India berkata Mahkamah Tetap Timbang Tara (PCA) di The Hague tidak mempunyai kompetensi untuk mempertimbangkan perkara berkaitan projek hidroelektrik Kishenganga dan Ratle.
Pakistan merujuk kepada peruntukan Perjanjian Air Indus 1960, telah membantah projek India yang terletak di anak sungai Jhelum dan sungai Chenab di wilayah Jammu dan Kashmir seterusnya memulakan prosiding timbang tara pada 2016.
Tribunal The Hague pada Khamis menolak bantahan India terhadap kes yang dikemukakan oleh Pakistan.
"Dalam prosiding ini, Pakistan meminta Mahkamah Timbang Tara untuk mengkaji interpretasi dan pelaksanaan Perjanjian Air Indus terhadap elemen-elemen reka bentuk projek hidroelektrik aliran sungai yang India dibenarkan berdasarkan perjanjian itu untuk membinanya di sungai Indus, Jhelum dan Chenab sebelum air sungai itu mengalir ke Pakistan.
"Dalam keputusan sebulat suara, yang mengikat Pihak-Pihak dan tidak boleh dirayu, Mahkamah menolak setiap bantahan yang dibangkitkan oleh India dan memutuskan bahawa Mahkamah mempunyai kompetensi untuk mempertimbangkan dan menentukan pertikaian yang dinyatakan dalam Permohonan Timbang Tara Pakistan," menurut PCA dalam satu kenyataan.
Merujuk kepada pemulauan India terhadap prosiding itu, tribunal itu berkata bahawa "ketidakhadiran satu pihak tidak menyebabkan Mahkamah hilang kompetensi dan tidak mempunyai sebarang kesan ke atas penubuhan dan fungsi Mahkamah, termasuk keputusan akhir dan yang mengikat award.
Mengulas kepada perkembangan itu, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri di New Delhi memaklumkan pada Khamis: "Pendirian India yang konsisten dan berasas adalah bahawa penubuhan 'Mahkamah Timbang Tara' adalah bertentangan dengan peruntukan Perjanjian Air Indus."
Kementerian itu memaklumkan bahawa Pakar Neutral telah pun menyedari perbezaannya berkaitan dengan kedua-dua projek itu dan India tidak boleh dipaksa untuk mengiktiraf atau mengambil bahagian dalam prosiding-prosiding haram dan tidak selari dengan Perjanjian."
Pada Oktober 2022, Bank Dunia, yang mempunyai tanggungjawab tertentu dalam peranan "terhad" dan "prosedur" di bawah Perjanjian Air Indus, melantik Pakar Neutral dan Pengerusi Mahkamah Timbang Tara.
Menurut Bank Dunia, Pakistan telah meminta bank terbabit untuk memudahkan penubuhan Mahkamah Timbang Tara untuk mempertimbangkan kebimbangan mereka mengenai reka bentuk dua projek hidroelektrik, sementara India meminta pelantikan Pakar Neutral untuk mempertimbangkan kebimbangan yang sama.
"Dua mekanisme ini adalah bebas. Perjanjian memberikan kuasa kepada kedua-dua mekanisme untuk menentukan bidang kuasa dan kebolehan mereka sendiri serta kuasa untuk membuat keputusan mengenai prosedur mereka," menurut Bank Dunia dalam lembaran fakta mengenai Perjanjian Air Indus yang dikemas kini pada laman sesawangnya pada Jun 2023.
-- BERNAMA
#India #Pakistan #Tribunal The Hague #projek hidroelektrik